Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • ‘For You Nourul’ bukti pesona, vokal masih berbisa selepas tiga dekad
  • HIBURAN

‘For You Nourul’ bukti pesona, vokal masih berbisa selepas tiga dekad

Utusan Sarawak 2 hours ago
PENANTIAN lebih tiga dekad akhirnya terlerai apabila penyanyi Nourul Wahab Depp merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi ‘Konsert For You Nourul’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Penantian lebih tiga dekad akhirnya terlerai apabila penyanyi Nourul Wahab Depp merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi ‘Konsert For You Nourul’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih istimewa, konsert berdurasi hampir tiga jam itu bukan sekadar meraikan perjalanan seni penyanyi berusia 49 tahun itu, malah menjadi ruang untuk beliau berkongsi kisah hidup, perjuangan dan perjalanan karier yang membentuk namanya dalam industri muzik tanah air.

Seawal persembahan, suasana dewan sudah dibangkitkan dengan kemunculan kumpulan koir yang mendendangkan beberapa lagu popular Nourul termasuk Tika Cinta, Keliru, Cinta Azali, Kerana Terluka dan Aku Cinta Aku Rindu, sekali gus mengimbau nostalgia peminat yang setia mengikuti perjalanan seninya sejak era 1990-an.

PENANTIAN lebih tiga dekad akhirnya terlerai apabila penyanyi Nourul Wahab Depp merealisasikan impian mengadakan konsert solo menerusi ‘Konsert For You Nourul’ yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi. Foto Bernama

Kemunculan Nourul menerusi lagu Rindu dan Impianku disambut sorakan gemuruh penonton, dengan vokalnya yang masih mantap serta kawalan suara yang konsisten membuktikan usia bukan penghalang untuk terus memukau khalayak.

Antara segmen yang meninggalkan kesan ialah rangkaian lagu Janji Manismu, Kau Kunci Cintaku, Madah Berhelah dan Sembilu yang membawa penonton menyusuri kembali era kegemilangan muzik tempatan.

Beberapa kali penyanyi itu dilihat sebak ketika berkongsi rasa syukur kerana impian untuk memiliki konsert solo sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas 32 tahun bergelar anak seni.

“Terima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Saya simpan impian ini lebih 30 tahun. Better late than never (Lebih baik terlambat daripada tidak ada),” katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada penonton.

Momen penuh emosi itu turut diserikan dengan kemunculan anak lelakinya, Zachary Raphael Depp, yang mencuit hati penonton menerusi telatahnya di atas pentas.

Konsert berkenaan turut menemukan semula Nourul dengan peminat yang hadir dari pelbagai lokasi termasuk Singapura dan Brunei, sekali gus membuktikan pengaruh serta sokongan yang masih utuh terhadap penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1996 itu.

Keakraban Nourul dengan peminat terserlah apabila beliau turun dari pentas menyapa penonton dan rakan seni yang hadir. Namun, sorakan paling gemuruh malam itu tercetus sebaik Ning Baizura muncul sebagai artis jemputan, sebelum kedua-dua sahabat baik itu memukau hadirin menerusi duet Selagi Ada Cinta.

MERIAH… ‘Energi’ konsert terus meningkat apabila Mimi Fly muncul sebagai artis jemputan dan bergandingan dengan Nourul menerusi lagu Persamaan, Maafkanku dan Keliru sehingga mengundang penonton bangun memberikan penghormatan. Foto Bernama

‘Energi’ konsert terus meningkat apabila Mimi Fly muncul sebagai artis jemputan dan bergandingan dengan Nourul menerusi lagu Persamaan, Maafkanku dan Keliru sehingga mengundang penonton bangun memberikan penghormatan.

Tidak sekadar menyampaikan lagu popularnya, Nourul turut memperlihatkan sisi versatil menerusi lagu berbahasa Perancis ‘Aujourd’hui’ sebelum memberi penghormatan kepada idolanya, Celine Dion, menerusi lagu ‘That’s The Way It Is’.

Dalam segmen solo pula, beliau tampil anggun dalam persalinan rona emas menampilkan lagu Ikhlasnya Cintaku, Tangis Syukur, Tertutup Hati, Rinduku Padamu dan Aku Cinta Aku Rindu pula menjadi antara kemuncak persembahan apabila hampir seluruh dewan menyanyikan lagu-lagu itu bersama-sama.

Nourul turut berkongsi kisah di sebalik lagu Rinduku Padamu yang dicipta sepenuhnya oleh bekas suaminya, Ajai, dan menyifatkan karya yang diterbitkan pada 1996 itu mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan seninya.

Meskipun persembahan berlangsung hampir tiga jam tanpa henti, Nourul kekal bertenaga dengan vokal yang konsisten dari awal hingga akhir.

Beliau kemudian memperkenalkan single terbaharu berjudul Andai Ku Kenaliku ciptaan Yasin Sulaiman dan Eena Houzyama sebelum menutup tirai konsert menerusi lagu Kerana Terluka yang dinyanyikan beramai-ramai bersama penonton.

Malam itu, ‘For You Nourul’ bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perjalanan yang meraikan ketabahan, kesetiaan dan kecintaan seorang penyanyi terhadap dunia seni yang telah menjadi sebahagian daripada hidupnya selama lebih 30 tahun.

-Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Keputusan henti tayangan Konspirasi dibuat secara dalaman – Elepfilm Entertainment

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.