KUCHING: Kerajaan memberikan penumpuan sepenuhnya kepada tiga bidang yang membolehkan negeri ini menjadi sebahagian daripada transformasi dunia.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tiga bidang yang penting pada masa depan adalah makanan, alam sekitar yang mampan dan kesihatan.
Menurutnya, Sarawak mempunyai tanah, ekosistem yang sesuai untuk menghasilkan keselamatan makanan untuk dunia.
“Dengan populasi kita semakin bertambah dan rakyat memerlukan makanan yang berkualiti iaitu dari pertanian. Hari ini, orang banyak bercakap tentang alam sekitar yang mampan dan mengurangkan pengeluaran karbon.
“Kita mempunyai iklim yang bagus untuk menghasilkan pokok dan daun untuk menghasilkan oksigen dan ini boleh dilakukan melalui rangsangan dengan kelembapan, iklim dan proses yang sesuai.
“Dari segi kesihatan, kita wujudkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) sebagai sebahagian daripada penyelidikan kerana kita mempunyai pelbagai biodiversiti. Malah pembedahan boleh dilakukan melalui internet selagai ada teknologi.
“Ketiga-tiga perkara ini akan mengubah dunia, saya rasa Sarawak boleh menjadi sebahagian daripada transformasi dalam tiga bidang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tegas Digital Village, semalam.
Abang Johari berkata, Tegas adalah salah satu agensi yang boleh memainkan peranannya dari segi kesedaran teknologi.
“Tegas boleh membantu dengan semua asas yang diperlukan dalam transformasi kita. Untuk ini dilakukan, golongan muda, tua dan masyarakat perlu berubah dan mengubah cara pemikiran mereka.
“Jika Microsoft bermula dari garaj, kita mempunyai kemudahan dan kita boleh melakukannya. Sebab itu saya akan memberi sokongan sepenuhnya kerana saya mahu mentransformasikan Sarawak,” ujarnya.
Katanya lagi, Sarawak mempunyai masa depan namun ia terpulang kepada kita sama ada hendak melakukannya atau tidak.
“Anda perlu banyak membaca dan melihat transformasi terkini dalam teknologi. Sebab itu, ini adalah masa yang sesuai untuk Tegas untuk meneroka dengan banyak.
“Jadi inilah masa depan kita, saya yakin dengan persekitaran yang kondusif dan golongan muda yang saling bekerjasama pada masa yang sama kita mesti tegas untuk masa depan masyarakat kita,” katannya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO