KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak telah menganjurkan Hari Produktiviti dan Inovasi 2024, bersempena dengan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak.
Menampilkan tema ‘Transformasi Hijau ke arah Peningkatan Produktiviti’, acara ini memfokuskan kepada penggunaan sumber semula jadi secara mampan serta meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap kelestarian alam dalam usaha mengukuhkan produktiviti negara.
Acara tahunan ini telah berjaya menghimpunkan 100 peserta, termasuk wakil industri, komuniti setempat, serta wakil dari pelbagai jabatan dan agensi dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Program ini dianjurkan bersempena dengan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam 2024 yang bertemakan Kecemerlangan Penyampaian Perkhidmatan berteraskan Integriti dan Inovasi.
Dalam pada itu, program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mohamad Norjayadi Tamam di Dewan Produktiviti.
“Konsep kecekapan proses dan produktiviti mampan berkait rapat dengan usaha transformasi hijau.
“Penerimagunaan tekonologi hijau dan amalan lestari memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
“Usaha ini menyokong proses pengeluaran yang lebih cekap dan membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Tambah beliau lagi, dengan mengurangkan pembaziran dan memaksimumkan penggunaan sumber, organisasi boleh menghasilkan lebih banyak output dengan input yang sama, sekali gus meningkatkan produktiviti.
“MPC akan terus komited untuk membantu industri dan organisasi tempatan untuk memanfaatkan teknologi hijau ini. Dengan bimbingan dan sokongan yang diberikan, MPC yakin bahawa transformasi hijau bukan sahaja akan menjadi realiti tetapi juga satu kelebihan daya saing bagi industri tempatan di peringkat global,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program ini, antaranya aktiviti Briswalk, sesi Zumba, aktiviti Task@thon, pameran dan saringan kesihatan.
Selain itu, terdapat juga perkongsian ceramah oleh Ir Dr. Hazrul Mohamed Basri daripada Fakulti Kejuruteraan UNIMAS mengenai Transformasi Hijau: Meningkatkan Produktiviti melalui Prinsip Kelestarian.
Program ini turut dimeriahkan dengan perasmian landskap baharu serta aktiviti pelepasan ikan di kolam yang disempurnakan oleh Dr. Mohamad Norjayadi Tamam, Dr. Mazlina Shafi’i Pengarah MPC Sarawak, dan para peserta program.
Landskap baharu ini dinamakan Taman Produktiviti Lestari dilengkapi dengan dua kolam tadahan yang direka khas untuk menampung air hujan, yang mana air yang berlebihan akan dialirkan ke parit utama.
Inisiatif ini memanfaatkan sumber semula jadi secara lebih lestari.
MPC Sarawak juga berharap sambutan ini dapat menggalakkan inovasi dalam sektor awam dan swasta serta mencetuskan kesedaran tentang pentingnya keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Selain itu, MPC Sarawak akan terus melaksanakan program dan inisiatif berimpak tinggi untuk meransang pertumbuhan ekonomi Sarawak melalui pembangunan bakat masa depan, penerapan teknologi, digitalisasi dan meningkatkan penyampaian peraturan berkualiti bagi memacu pertumbuhan produktiviti yang mampan.
Oleh Nur Ain Otsman