Filem ‘Jana Nayagan’ terima sambutan hebat, kutip tempahan pratayangan RM3 juta

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Filem Tamil “Jana Nayagan” yang dibintangi pelakon popular India yang kini bergelar ahli politik serta Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, mencatat permulaan memberangsangkan di Malaysia apabila meraih kutipan jualan tiket secara tempahan sebanyak RM3 juta sebelum filem itu ditayangkan di seluruh negara bermula 23 Julai lalu.

Filem yang diedarkan di Malaysia oleh Malik Streams Corporation itu merupakan antara filem berbahasa Tamil yang menerima tayangan paling meluas di negara ini, iaitu di 134 buah pawagam.

Bagi meraikan tayangan filem itu di negara ini, Malik Streams Corporation menganjurkan tayangan khas eksklusif di TGV Cinemas, Pavilion Bukit Jalil pada 23 Julai, menghimpunkan seramai 1,245 tetamu jemputan meliputi pemain industri, tokoh korporat serta wakil media yang memenuhi  15 dewan tayangan.

TAYANGAN EKSKLUSIF… Tayangan khas filem Jana Nayagan di TGV Cinemas, Pavilion Bukit Jalil yang menghimpunkan lebih 1,200 tetamu jemputan daripada pelbagai sektor. Foto Bernama

Pengasas syarikat Datuk Abdul Malik Dasthigeer, ketika ditemui Bernama, berkata sambutan luar biasa itu mencerminkan populariti Vijay yang terus utuh dalam kalangan penonton di Malaysia.

Pada 27 Disember tahun lepas, Malaysia menjadi tuan rumah Thalapathy Thiruvizha: Jana Nayagan, iaitu majlis pelancaran audio filem ke-69 Vijay di Stadium Nasional Bukit Jalil,  yang menarik kehadiran kira-kira 85,000 peminat serta diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Sementara itu, Abdul Malik berkata beliau baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Vijay di Chennai, India,  bagi mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, selain mengundang beliau ke Malaysia.

Abdul Malik berkata beliau berharap Malaysia akan menjadi destinasi luar negara pertama yang dikunjungi Vijay selepas memegang jawatan itu, dan percaya lawatan tersebut mampu mengukuhkan lagi hubungan budaya, pelancongan dan ekonomi yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Tamil Nadu.

SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN… Filem Tamil Jana Nayagan menerima sambutan hangat apabila mencatat tempahan tiket pratayangan sebanyak RM3 juta sebelum ditayangkan di 134 pawagam di seluruh negara. Foto Bernama

“Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya serta hubungan rakyat dengan rakyat yang amat erat sejak sekian lama. Kami menantikan kehadiran beliau di Malaysia dan berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam bidang pelancongan, perdagangan, pelaburan, pendidikan serta industri kreatif,” katanya.

Menurut  Abdul Malik, beliau turut menghadiahkan senaskhah buku tulisan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times kepada Vijay, sebagai tanda persahabatan dan hubungan baik.

Buku berkenaan mengandungi catatan tulisan tangan Anwar yang dibaca: “Dear Chief Minister Vijay, Congratulations. Looking forward to further collaboration – against corruption and for good governance.”

Vijay, 52, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada 10 Mei selepas parti pimpinannya, Tamilaga Vettri Kazhagam muncul sebagai parti tunggal terbesar dalam pilihan raya negeri yang sengit, sekali gus memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan. – Bernama