KUALA LUMPUR: Sebuah karya sinematik berbahasa Dusun, ‘Sinakagon’ kini bersedia menemui peminat filem tempatan di 30 pawagam di seluruh negara bermula 13 Jun ini.
Menggabungkan elemen drama, misteri dan seram, ‘Sinakagon’ yang bermaksud ‘keturunan’ dalam bahasa Dusun, bukan sahaja mengangkat bahasa dan budaya kaum Dusun ke layar perak tetapi juga menawarkan jalan cerita yang menarik.
“Sinakagon’ diinspirasi daripada legenda Huminodun, mengisahkan tentang seorang gadis yang menyerahkan diri untuk dikorbankan demi menyelamatkan kaumnya daripada bencana kemarau yang menyebabkan kebuluran di kampung mereka.
Filem sulung arahan Timothy Stephen dan terbilan pertama Bamboo Sound Studio itu dibintangi anak jati Sabah, antaranya Fiona Josepher, Ejin Dinting, Lisa Christy, Esthaer Zaino dan Ron Langad.
Menurut Timothy, beliau ingin meraikan kepelbagaian budaya melalui ‘Sinakagon’ dan berharap kisah legenda rakyat yang dikaitkan dengan pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau yang diadakan setiap tahun sempena perayaan Tadau Kaamatan itu boleh diterima peminat filem di negara ini.
Bercakap kepada Bernama, Timothy mengakui melalui cabaran yang bukan sedikit untuk menyiapkan filem itu terutamanya daripada segi kos dan pemilihan pelakon.
“Cabaran utama adalah kos (pembikinan filem). Kami terima dana RM200,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tetapi kos sebenar pembikinan filem ini lebih besar,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV.
Selain itu, pemilihan pelakon yang rata-ratanya masih baharu turut menjadi cabaran kerana mereka harus memenuhi kriteria boleh berbahasa Dusun.
“Susah nak cari pelakon…pelakon-pelakon ini boleh berbahasa dusun tetapi terdapat beberapa pelakon yang tidak fasih dan pertama kali berlakon, latihan diadakan bagi memantapkan filem ini,” katanya yang turut ditemani pembantu pengarah, Terrence Blantocas.
Selain menjadi pengarah, Timothy juga adalah penulis skrip, pengarah fotografi, penerbit dan juga pemasaran, manakala Terence pula bertanggungjawab sebagai penerbit, pembantu pengarah dan pengarah audio.
Menurut beliau lagi, penggambaran filem ‘Sinakagon’ yang dimulakan pada 15 Mei 2021, melibatkan beberapa lokasi di sekitar Keningau, Tambunan dan Kota Kinabalu, Sabah.
Filem itu mengambil masa setahun untuk disiapkan akibat tergendala beberapa kali susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, ‘Sinakagon’ yang turut berjudul ‘Bloodline’ untuk audien internasional dianugerahkan Award Winner Best First Time Director (Feature) Milan Independent Awards, Finalist Prisma Rome Independent Film Awards dan Official Selection Barcelona Indie Filmmakers Fest (BARCIFF), merangkul tempat lima teratas daripada 100 filem terpilih. – Bernama