Lebih 9,000 pelajar manfaat program Hackathon AI Muda@NADI 2026

Facebook
WhatsApp
KETUA Inovasi XR, Metaverse dan Web 3.0 CelcomDigi, Datin Dr. Masdiana Sulaiman (tengah) bergambar kenangan bersama para pelajar pada Majlis Pelancaran AI Muda @ Nadi Hackathon di sebuah hotel hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Oktober: Lebih 9,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negara mendapat pendedahan kepada kecerdasan buatan (AI) menerusi program Hackathon AI Muda@NADI 2026 yang turut membolehkan mereka membangunkan aplikasi digital sendiri.

Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dengan kerjasama CelcomDigi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Google for Education serta sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) itu, turut merekodkan lebih 22,000 pensijilan AI.

Pertandingan akhir yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan 26 pasukan finalis daripada sekolah menengah KPM dan MRSM di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Pasukan berkenaan berjaya mara ke peringkat akhir selepas melepasi penilaian digital susulan enam siri pembelajaran AI selama enam minggu.

Ketua Inovasi XR Metaverse dan Web 3.0 CelcomDigi Datin Dr Masdiana Sulaiman berkata program itu bertujuan melahirkan generasi muda yang bukan sahaja menggunakan teknologi, malah mampu mencipta inovasi untuk manfaat masyarakat.

“Kami mahu generasi muda berani mencipta dan berinovasi. Hari ini mereka mungkin menggunakan teknologi AI tetapi suatu hari nanti kami mahu mereka menjadi pencipta teknologi yang mampu memberi manfaat kepada Malaysia dan dunia,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Program AI Muda@NADI 2026 Dr Nor Hafizah Adnan berkata UKM membangunkan modul khas bagi membantu pelajar menguasai AI generatif, teknik memberikan arahan kepada AI dan pembangunan aplikasi menggunakan Google Gemini.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan pelajar menghasilkan aplikasi yang benar-benar berfungsi, bukan sekadar prototaip atau konsep.

Kemudahan NADI turut membantu pelajar, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengikuti latihan serta membangunkan aplikasi meskipun tidak mempunyai komputer atau akses Internet di rumah.

Menurut beliau, Google turut menyokong program itu melalui penggunaan Gemini dan NotebookLM bagi membantu pelajar menghasilkan bahan pembelajaran interaktif, kuiz dan bahan ulang kaji.

Pensyarah Pendidikan Digital dan Futuristik Fakulti Pendidikan UKM Prof Madya Dr Helmi Norman berkata program itu bukan sekadar pertandingan, malah menggalakkan pelajar mengenal pasti masalah sebenar dalam komuniti dan membangunkan penyelesaian menggunakan teknologi.

Antara projek yang dihasilkan peserta ialah aplikasi pembelajaran bahasa isyarat menggunakan kamera dan AI, serta sistem pemantauan jerebu secara masa nyata.

Bagi pertandingan akhir, peserta diberikan cabaran bertemakan AI Innovation for the Future of Plantations and Commodities yang memfokuskan pembangunan penyelesaian AI dalam sektor perladangan dan komoditi, termasuk pertanian pintar, kelestarian alam sekitar, peningkatan produktiviti perladangan dan pemerkasaan pekebun kecil. – Bernama