
ISTANBUL: Anggota pasukan bola sepak kebangsaan Senegal dilihat menjalani pemeriksaan keselamatan ketat selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) bagi menyertai Piala Dunia FIFA 2026, lapor Anadolu Ajansi berdasarkan video yang tular di media sosial.
Rakaman itu dikongsi di platform X oleh wartawan bola sepak Afrika, Micky Jnr.
Rakaman berkenaan memaparkan pemain yang memakai jersi pasukan Senegal berdiri di kawasan landasan lapangan terbang berhampiran bagasi mereka sejurus selepas turun dari pesawat, sebelum dibawa masuk ke terminal, ketika anggota keselamatan menjalankan pemeriksaan ketat.
Selain itu, seorang pemain dilihat menghulurkan kedua-dua tangan ketika seorang petugas kelihatan melakukan pemeriksaan keselamatan menggunakan alat pengimbas tangan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa bola sepak Senegal, FIFA atau pegawai AS berhubung rakaman itu.
Piala Dunia 2026 berlangsung di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico melibatkan 48 buah pasukan, dengan Senegal antara pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.- Bernama-Anadolu