KUCHING: Festival Gendang Sarawak 2024 (FGS 2024) mampu menjadi platform untuk memartabatkan kekayaan seni serta budaya Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pemeliharaan khazanah kebudayaan amat penting, khususnya bagi generasi muda.
“Khazanah kebudayaan perlu dipelihara bersama-sama agar tidak mudah dilupakan dan harus ditanam serta dipupuk dalam jati diri setiap anak Sarawak.
“Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, memiliki pelbagai adat dan budaya yang diwarisi sejak turun-temurun dan telah berkembang menjadi tradisi serta amalan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
“Seni persembahan seperti gendang Melayu Sarawak, yang berlatarkan etnik dan alat muzik berbeza mengikut suku kaum, menjadi sesuatu yang unik dan harmoni apabila digabungkan dalam satu persembahan.
“Platform ini menjadi pertandingan yang dinanti-nantikan oleh rakyat setempat, yang mana seni warisan yang dipelihara sejak zaman berzaman ini kembali dipertontonkan kepada masyarakat untuk dikenang dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Festival Gendang Sarawak 2024 di Tebingan Sungai Kuching di sini, semalam.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut hadir bagi merasmikan festival tersebut.
Dalam pada itu, festival yang sudah memasuki edisi ke-11 ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Pertandingan Gendang Melayu Sarawak dan Tandak Berpasangan bagi kanak-kanak lelaki yang melibatkan peserta dari seluruh Sarawak.
Program yang dianjurkan kali ke-11 ini diadakan selama tiga hari, bermula 1 hingga 3 November 2024, bersempena Festival Regatta Sarawak di Tebingan Sungai Kuching.
Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Pada masa sama, Konsert Malam Gala Simfoni FGS 2024 yang dijadualkan pada hari ini (2 November) akan menampilkan artis-artis terkenal, termasuk Dato Jamal Abdillah dan Belle Sisoski, serta pemain sape terkenal, Matthew Ngau Jau.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Festival Gendang Sarawak 2024 boleh melayari media sosial JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya dan laman web rasmi JKKN.
Oleh Mohd Neenatul Aizal