KUCHING: Pihak penganjur Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 mendapat tajaan sekurang-kurangnya RM1.5 juta.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara kemuncak festival tersebut ialah Regata Sarawak dan Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak, bakal kembali menggegarkan Tebingan Kuching 25 Oktober ini hingga 3 November depan.
“Kira-kira RM1.5 juta diterima penganjur ialah daripada Petros sebagai penaja platinum RM500,000.
“Setiap satu RM300,000 daripada Petronas, Petra Energy Berhad dan Bintulu Port Holdings sebagai penaja emas.
“Sejumlah RM50,000 daripada JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited sebagai penaja gangsa,” katanya.
Penaja bersama lain termasuk Sarawork Sdn Bhd, Hock Peng Reality Sdn Bhd, Ta Ann Holdings Berhad, Borneo Housing Mortgage Finance Berhad, Sarawak Plantation Berhad dan MOMA Water.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penaja yang telah menyumbang dalam penganjuran Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront ini.
“Sementara perlumbaan perahu Regata Sarawak akan diadakan dari 1 hingga 3 November di Sungai Sarawak di sepanjang Tebingan Kuching,” kata Abdul Karim pada sidang media di Hotel Waterfront hari ini semasa majlis penyampaian tajaan.
Mengulas lanjut berkenaan festival, katanya, kira-kira 2,000 peserta dari luar dan dalam Malaysia mewakili 61 pasukan dari 21 negara akan mengambil bahagian dalam Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak Ke-10 dari 25 hingga 27 Oktober ini.
“Premier kita (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) akan melakukan upacara menitik mata naga dan merasmikan pembukaan Regata Sarawak pada 26 Oktober 2024, manakala Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menyaksikan perlumbaan Piala Raja Sungai pada 3 November depan.
“Aktiviti lain ialah Showcase Usahawan Sarawak, Festival Kraf Borneo, Demonstrasi Masakan, Festival Gendang Melayu Sarawak,” tambah Abdul Karim.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chew Yew, Setiausaha Tetap kementerian Datu Sherina Hussaini dan Residen Kuching Joanita Azizah Abang Morhsidi.
Oleh Noor Ikmal