BELGRADE, Serbia: Feliks, seekor helang empayar timur yang jarang ditemui, kini kembali terbang bebas di ruang udara tanah kelahirannya di Serbia selepas diselamatkan daripada sindiket penyeludupan burung ketika melakukan penghijrahan sulungnya, kata persatuan burung kebangsaan.
Persatuan Perlindungan dan Kajian Burung Serbia, yang membantu membawa pulang burung itu selepas melalui pengalaman selama berbulan-bulan di beberapa negara, berkata Feliks telah dilepaskan semula ke habitat liarnya minggu ini.
Selepas anak helang itu meninggalkan sarangnya buat kali pertama pada Julai 2025, pakar yang menjejaki laluan penerbangan spesies dilindungi berkenaan mula bimbang apabila ia mengambil laluan luar biasa menuju ke Asia Barat.
“Pada ketika itu, kami mula bimbang kerana dapat melihat bahawa ia menuju ke kawasan yang amat tidak selamat,” kata Uros Stojiljkovic dari Persatuan Perlindungan dan Kajian Burung Serbia kepada AFP.
Pada akhir Oktober, isyarat alat pengesan Feliks hilang dengan lokasi terakhirnya direkodkan di Syria.

Stojiljkovic berkata beliau pada mulanya berharap kehilangan isyarat itu hanya disebabkan kerosakan alat pengesan, namun tidak lama kemudian jelas bahawa burung berkenaan telah diculik.
Selepas dihubungi menerusi sebuah organisasi rakan kongsi di Lubnan, pemuliharaan dari Serbia itu berkata penculik burung berkenaan yang tidak dikenali menuntut wang tebusan.
“Kami menolak dengan tegas. Dengan berbuat demikian, anda sebenarnya menyokong rangkaian penyeludupan itu,” katanya.
Selepas rundingan panjang, burung itu diserahkan kepada sebuah pusat hidupan liar di Beirut dan ditempatkan di situ selama enam bulan sementara rancangan untuk membawanya pulang dengan selamat disusun.
Pada Jun lalu, anggota tentera Serbia yang pulang selepas menyertai misi pengaman di Lubnan akhirnya membawa Feliks pulang menaiki pesawat tentera sebelum membawanya ke Zoo Palic untuk menjalani pemulihan.
Selepas menjalani proses pemulihan rapi, Feliks dilepaskan semula ke habitat liar minggu ini.
“Kami berharap ia akan mampu terbang sekurang-kurangnya sejauh penerbangan pertamanya, ketika ia berjaya sampai ke pesisir Asia dan Afrika,” kata Pengarah Zoo Palic, Sonja Mandic, dalam satu kenyataan.
Helang empayar timur dikategorikan sebagai spesies sangat terancam dan dilindungi sepenuhnya di Serbia. Menurut Stojiljkovic, populasinya pernah merosot sehingga hanya tinggal satu pasangan pembiak pada 2017.
Usaha pemuliharaan sejak itu membantu meningkatkan semula populasinya, dengan 29 pasangan dipantau pada 2026.
Stojiljkovic berkata empat anak helang turut dilahirkan tahun ini dan dinamakan Jelena, Princ, Atila dan Michel.
Anak terakhir itu dinamakan sempena Michel Sawan, ketua organisasi Lubnan yang membantu menyelamatkan Feliks.
– AFP





