PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) yang juga Pengurus Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman berharap Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan merujuk terlebih dahulu kepada badan induk, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Menurut Fazzrudin, bekas jurulatih kebangsaan itu seorang yang berpengalaman dan amat mengetahui segalanya sebelum berbuat demikian.
“Kalau boleh biarlah bertanya dan siasat terlebih dahulu, pihak kita di Kuching FA juga menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak MFL,” ujar Fazzrudin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai komen B. Sathianathan yang mempersoalkan status salah seorang pemain skuad ‘The City Boys’ dalam salah sebuah laman portal beberapa hari lalu.
Tambah Fazzrudin, beliau sangat menghormati B. Sathianathan sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman luas.