KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen mungkin mengalami amnesia separa dan tidak dapat membezakan antara fakta dan fiksyen.
Demikian kata Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berikutan kenyataan Chong yang mencabar Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menamakan projek dibiayai persekutuan yang dibatalkan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah negara.
“Sungguh mengecewakan dan menyedihkan apabila melihat DAP dan PH terpaksa menafikan dan ‘membasuh tangan dosa’ mereka kepada rakyat Sarawak apabila datang untuk memancing undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
“Chong sama ada sangat pelupa atau berpura-pura lupa bahawa PH telah membatalkan projek di Sarawak sejurus selepas mengambil alih kuasa.
“Hakikatnya projek itu dibatalkan di Sarawak dan beberapa daripadanya diteruskan oleh Kerajaan Negeri.
“Chong sendiri dalam tempoh empat tahun yang lalu telah mengakui bahawa projek-projek ini telah dibatalkan dan cuba mengubahnya, melabelkan projek infrastruktur yang sangat diperlukan ini sebagai “projek udara panas” pada 2018.
“Ini selepas beliau gagal menunaikan janjinya untuk meneruskan projek-projek ini, mengatakan bahawa beliau akan membawanya sendiri kepada ketua partinya, Setiausaha Agung DAP ketika itu dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk meneruskan projek-projek ini.
“Kita hanya boleh membuat spekulasi bahawa tuntutannya ‘ditembak jatuh’ oleh tuan politiknya, justeru dia terpaksa mengikut parti dan mengikut arahan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Fazzrudin, pada 2019, Chong bukan sahaja sekali lagi mengakui bahawa projek-projek ini dibatalkan tetapi beliau menghina rakyat Sarawak, memberitahu mereka supaya tidak menjadi ‘crybaby’ atas projek-projek yang dibatalkan itu.
Alasan beliau ketika itu ialah pemotongan bajet untuk beberapa projek adalah tindakan yang perlu untuk menyelamatkan negara daripada muflis.
“Saya bertanya kepada Chong, adakah dia kini mengakui bahawa projek-projek ini telah dibatalkan? Bukankah dia yang memberitahu rakyat Sarawak supaya tidak menjadi ‘crybaby’ terhadap projek yang dibatalkan?
“Bagi rakyat Sarawak, kami tidak memaafkan dan tidak melupakan DAP dan Pakatan Harapan di atas layanan keras mereka terhadap Sarawak, walaupun mereka menafikan,” kata Fazzrudin.
Oleh MOHD NEENATUL AIZAL