BERLIN: Gol penyamaan dramatik Mattias Zaccagni pada saat akhir menentang Croatia memastikan juara bertahan, Itali, mara ke peringkat kumpulan Euro 2024 manakala Sepanyol mencatat rekod sempurna dalam Kumpulan B dengan kemenangan 1-0 ke atas Albania dalam perlawanan terakhir kumpulan, semalam, lapor Xinhua.
Croatia bermula dengan corak serangan, sedar bahawa hanya kemenangan akan memastikan mereka mara ke pusingan 16.
Luka Sucic mencipta peluang pertama dengan rembatan dari jarak 20 meter, memaksa penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, menyelamatkan bola.
Itali mengambil sedikit masa untuk mendapat rentak dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-20 apabila tandukan Mateo Retegui dari hantaran Ricaardo Calafiori hampir menghasilkan gol.
Anak buah Luciano Spalletti sepatutnya mendahului sebelum rehat separuh masa, namun usaha Alessandro Bastoni dan Lorenzo Pellegrini digagalkan oleh penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic.
Selepas rehat, Croatia mendahului apabila Donnarumma menepis penalti Luka Modric, tetapi bola tidak dapat dikeluarkan oleh pertahanan Itali, membolehkan Modric menjaringkan gol dari jarak dekat.
Itali melancarkan serangan bertubi-tubi ke kawasan gol Croatia kerana mereka memerlukan satu mata untuk mara ke pusingan seterusnya.
Bastoni hampir menjaringkan gol dengan tandukan, tetapi pertahanan Croatia berjaya mengekang Itali. Nampaknya Croatia akan menang tipis, tetapi Calafiori melancarkan serangan terakhir sebelum menghantar bola kepada Zaccagni yang melengkungkan bola ke sudut kanan atas gawang untuk mengejutkan Croatia.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Sepanyol meneruskan rentak kemenangan mereka dengan menewaskan Albania 1-0 hasil jaringan tunggal Ferran Torres.
Dengan keputusan itu, Sepanyol menamatkan peringkat kumpulan dengan 9 mata diikuti Itali (4 mata), Croatia (2 mata) dan Albania (1 mata).
Dua pasukan teratas setiap enam kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik akan mara ke pusingan kalah mati 16 pasukan. – Bernama – Xinhua