
MONTMELÓ, Sepanyol: Pasukan Formula 1 (F1) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mencapai persetuan untuk mengurangkan sedikit komponen kuasa elektrik dalam enjin hibrid kereta perlumbaan bermula pada 2027 dan 2028, umum FIA semalam.
Peraturan teknikal baharu telah mengubah spesifikasi kereta musim ini secara radikal, dengan enjin yang hampir separuh bergantung kepada kuasa elektrik, sekali gus memerlukan pengurusan tenaga yang besar dan bukan sesuatu yang mudah atau semula jadi bagi para pemandu.
Kereta generasi baharu itu menerima kritikan meluas dalam paddock, dengan juara dunia empat kali, Max Verstappen, menyifatkan jentera F1 2026 sebagai “Formula E yang dipertingkatkan secara ekstrem” dan memberi bayangan beliau mungkin meninggalkan sukan itu jika tiada perubahan dilakukan.
“Persetujuan ini dicapai susulan perbincangan yang berlangsung sejak perlumbaan pembukaan musim 2026 selepas beberapa kebimbangan dikenal pasti berkaitan pengurusan tenaga di bawah kerangka unit kuasa baharu,” menurut kenyataan FIA.
“Perubahan yang dicadangkan bertujuan menangani isu berkaitan pengurusan tenaga dan ciri aliran tenaga bahan api, selain menjadikan sesi kelayakan lebih kompetitif tanpa menjejaskan perlumbaan menarik yang dihasilkan menerusi peraturan baharu ini.”
FIA mendedahkan nisbah antara komponen pembakaran dalaman dan elektrik dalam enjin, yang kini berada pada kadar 53 peratus berbanding 47 peratus, akan berubah kepada 58-42 pada 2027 dan seterusnya kepada 60-40 pada 2028.
“Pakej ini merangkumi pelarasan khusus terhadap kuasa enjin pembakaran dalaman, aliran tenaga bahan api dan penggunaan sistem pemulihan tenaga, selain meningkatkan fleksibiliti dalam pengurusan tenaga,” tambah badan induk itu.
Perubahan terhadap pengurusan tenaga yang menerima kritikan hebat daripada pemandu sebelum ini telah mula diperkenalkan sejak Grand Prix Miami pada awal Mei lalu bagi mengehadkan jumlah tenaga yang dipulihkan semasa sesi kelayakan. — AFP