Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • England mampu tewaskan mana-mana lawan di Piala Dunia – Rice
  • SUKAN

England mampu tewaskan mana-mana lawan di Piala Dunia – Rice

Utusan Sarawak 4 hours ago
DECLAN Rice #4. Foto AFP

FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Declan Rice menegaskan England tidak perlu gentar berdepan mana-mana pasukan dalam usaha menamatkan penantian selama 60 tahun untuk menjulang trofi Piala Dunia selepas mempamerkan prestasi yang dianggap sebagai “penanda aras” menerusi kemenangan meyakinkan ke atas Croatia.

Walaupun masih terdapat beberapa kelemahan di benteng pertahanan, Three Lions berjaya mencatat kemenangan 4-2 ke atas Croatia di Dallas, pasukan yang pernah mara ke separuh akhir dan final dalam dua edisi Piala Dunia terdahulu.

Kapten pasukan, Harry Kane, dan pemain tengah berpengaruh, Jude Bellingham, masing-masing mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan pembukaan itu, manakala Marcus Rashford turut menyerlah apabila menjaringkan gol selepas dimasukkan sebagai pemain gantian, sekali gus membuktikan kekuatan skuad England secara keseluruhan.

“Kami sebagai pemain mengetahui tahap kemampuan yang dimiliki serta apa yang diperlukan. Prestasi pada separuh masa kedua ketika menentang Croatia mungkin menjadi penanda aras kepada kami dari segi bagaimana perlawanan perlu dimulakan pada tahap sedemikian,” kata Rice pada sidang media menjelang perlawanan kedua England menentang Ghana, pada 4.00 pagi esok (waktu Malaysia).

“Kami percaya bahawa jika dapat menampilkan aksi seperti itu sejak minit pertama, ditambah dengan kehadiran pemain berkualiti yang boleh diturunkan dari bangku simpanan untuk mengubah corak permainan, kami mampu menewaskan mana-mana pasukan di dunia.

“Kami mahu yakin terhadap kemampuan sendiri dan apa yang mampu kami lakukan di atas padang,” katanya.

Prestasi Rice sendiri merupakan antara sedikit perkara yang menimbulkan kebimbangan kepada pengendali England, Thomas Tuchel, meskipun pasukan itu memulakan kempen dengan cemerlang.

KETUA jurulatih England dari Jerman, Thomas Tuchel. Foto AFP

Pemain tengah Arsenal itu, yang memainkan peranan penting membantu kelabnya menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris pertama dalam tempoh 22 tahun musim ini, dikeluarkan pada babak kedua ketika mencatat penampilan ke-63 bagi kelab dan negara sepanjang musim.

Bagaimanapun, Rice menolak tanggapan bahawa beliau mula mengalami keletihan ketika kejohanan baharu sahaja bermula.

“Tahap kecergasan saya telah dibentuk dan dipersiapkan untuk detik seperti ini serta untuk mengharungi musim yang panjang.

“Saya berpendapat musim ini lebih mencabar dari segi mental berbanding fizikal kerana emosi seorang pemain bola sepak sentiasa berubah-ubah.

“Pada ketika ini, saya berada dalam keadaan mental yang sangat baik dan tahap fizikal saya juga berada pada keadaan terbaik. Saya mahu mengekalkan keadaan ini sehingga penghujung kejohanan,” katanya.

Saka bebas daripada kesakitan

Rakan sepasukannya di Arsenal, Bukayo Saka, tidak diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Croatia kerana masih menjalani proses pemulihan kecederaan tendon Achilles.

Bagaimanapun, Tuchel mengesahkan pemain sayap itu sudah bersedia untuk diturunkan menentang Ghana di Boston.

“Bukayo semakin pulih dan semakin bebas bergerak. Dia tidak lagi berasa sakit.

“Dia berjaya mengharungi dua sesi latihan terakhir pada tahap yang sangat baik, justeru dia sudah bersedia untuk diturunkan, sama ada dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian, namun saya tidak akan mendedahkannya sekarang,” kata jurulatih dari Jerman itu.

Walaupun tidak pernah memenangi sebarang kejohanan utama sejak menjulang Piala Dunia 1966, England hampir menamatkan kemarau tersebut di bawah kendalian bekas pengurus, Gareth Southgate.

England tewas dalam dua perlawanan akhir Kejohanan Eropah (Euro) berturut-turut, selain mara ke separuh akhir dan suku akhir Piala Dunia di bawah bimbingan Southgate.

Tuchel percaya skuadnya memiliki pengalaman dan kekuatan mental yang mencukupi untuk mengharungi tekanan serta harapan tinggi yang sering membelenggu pasukan England sejak beberapa dekad lalu.

“Sudah tentu emosi dan tekanan sentiasa wujud. Pada suatu ketika, anda pasti akan merasai ketegangan dan tekanan tersebut.

“Saya berharap kami mampu menanganinya, menerimanya dan menukarkannya kepada sesuatu yang positif.

“Saya banyak mendengar mengenai tekanan yang dihadapi England. Saya sendiri dapat merasakan keterujaan dan tekanan itu, namun saya juga melihat kami mempunyai ramai pemain yang pernah meraih kejayaan serta berpengalaman dalam menghadapi situasi sedemikian,” katanya. Kemenangan ke atas Ghana akan mengesahkan tempat England ke pusingan 32 terbaik. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Wei Chong anggap gandingan bersama Wooi Yik peluang terbaik mantapkan prestasi
Next: Algeria bangkit tewaskan Jordan 2-1

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.