SEPANG: Gara-gara mengggunakan MyKad milik individu lain untuk memasuki negara ini minggu lepas, enam warga Filipina termasuk seorang remaja masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara satu hingga enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Lima tertuduh Sahara Jamil, 51; Husin Jailun, 48; Nur Aisah Isanul, 19; Ujirin Pandakan, 43; Mukmin Oskar, 29; masing-masing dihukum penjara enam bulan dan turut didenda RM5,000 seorang selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.
Kesemua mereka juga diperintah menjalani hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Remaja perempuan berusia 15 tahun pula dihukum penjara selama sebulan dan tiada dikenakan denda selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah memerintah kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu Khamis lepas dan diarah supaya dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua individu berkenaan didakwa telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Gate J11, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, kira-kira 1.30 tengah hari pada Khamis lepas.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad dan Nor Fadilah Mat Shaari.
Terdahulu, Zulkarnain dan Nor Fadilah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh masuk ke negara ini melalui saluran yang tidak sah dan tindakan itu merupakan ancaman yang besar kepada negara.
Pada Sabtu lepas, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa disyaki terbabit sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin di Sabah dalam operasi khas Op Lancar bersama JPN. – Bernama