
KAPIT: Enam pintu rumah pekerja di salah sebuah kem balak, Nanga Sempili, di sini ranap dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bagaimanapun hanya menerima panggilan bagi tujuan pengesahan kebakaran pada 10.39 pagi tadi.
“Tiba di lokasi didapati benar telah berlaku kebakaran yang melibatkan rumah pekerja enam pintu, struktur jenis tidak kekal terbakar 100 peratus. Kebakaran tidak melibatkan kehilangan nyawa. Dilaporkan dua pintu didiami manakala empat pintu adalah kosong tidak didiami,” jelasnya menerusi kenyataan, sebentar tadi.


Menurutnya, ketika kejadian penghuni pintu nombor satu tiada di bilik namun penghuni pintu nombor enam merupakan sepasang suami isteri berada di rumah ketika kejadian.
“Turut terbakar dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta terbakar 100 peratus,” ujarnya.
Katanya, tiada operasi pemadaman dan penyelamatan dijalankan, pihak bomba cuma mendapatkan maklumat daripada saksi yang berada di bilik semasa kebakaran berlaku.
“Menurut saksi kejadian itu berlaku sekitar 10.00 malam, beliau melihat asap tebal masuk ke bilik beliau dan segera keluar dari rumah.
“Beliau berusaha memadam menggunakan alat pemadam api namun gagal kerana api telah besar merebak ke seluruh bilik dengan cepat. Usaha memadam oleh jiran-jiran beliau menggunakan air dari tangki tadahan air hujan juga gagal,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman