
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan empat warga Bangladesh disyaki menjadi ejen yang menawarkan perkhidmatan penipuan berkaitan imigresen kepada warga asing, dalam operasi khas sekitar Kuala Lumpur dan Bandar Bukit Raja, Selangor pada 12 dan 13 Mac lepas.
Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban, berkata empat warga asing berumur 22 hingga 38 tahun itu ditahan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Beliau berkata semakan awal mendapati dua daripada yang ditahan itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan, manakala dua lagi dipercayai melakukan kesalahan kerana tinggal dalam negara melebihi tempoh dibenarkan.
“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan imigresen kepada warga asing yang berada dalam negara seperti Pas Khas, dan mereka menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal yang telah tinggal lebih masa ataupun telah tamat PLKS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria, berkata ejen ini turut menyediakan perkhidmatan mengubah suai ePASS secara tidak sah, dengan bayaran yang dikenakan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 dan mereka dipercayai telah menjalankan aktiviti itu selama kira-kira setahun.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, pasukan operasi telah merampas 134 pasport, yang terdiri daripada 117 pasport Bangladesh, empat pasport Nepal, enam pasport masing-masing Myanmar dan Indonesia dan satu pasport India.
Turut disita empat unit telefon bimbit, satu unit komputer riba, dan wang tunai berjumlah RM69,380 serta dua kenderaan jenis Perodua Ativa dan Perodua Alza untuk siasatan lanjut.
Zakaria, berkata kesemua warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)() Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1 A)(a) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, katanya, seorang wanita warga Malaysia, dan tiga lelaki warga Bangladesh diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – Bernama