Empat sekeluarga hilang tempat tinggal, rumah musnah 100 peratus dalam kebakaran di Batang Ai

Facebook
WhatsApp

​LUBOK ANTU: Empat ahli keluarga berdepan detik cemas selepas rumah jenis tidak kekal yang didiami mereka musnah 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran di kawasan Hidro Batang Ai, Jalan Lubuk Antu, tengah hari tadi.

​Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 12:28 tengah hari.

​Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dan pacuan empat roda telah dikejarkan ke lokasi yang terletak sejauh 72 kilometer dari balai.

 SEBUAH rumah jenis tidak kekal di kawasan Hidro Batang Ai, Jalan Lubuk Antu dekat sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku tengah hari tadi. Foto: PGO Bomba

​Komander Operasi, Komi Jayang memaklumkan bahawa Pasukan Keluaran Operasi (PKO) berdepan cabaran laluan dan perlu menggunakan bot awam untuk menyeberangi sungai bagi sampai ke lokasi kejadian.

​Jentera bomba tiba di lokasi pada 1:48 petang dan operasi berjaya dikawal seminit kemudian pada 1:49 petang.

Kebakaran tersebut melibatkan sebuah struktur rumah berukuran kira-kira 6.1 x 6.1 meter. Rumah berkenaan didiami sepasang suami isteri bersama dua anak mereka, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

ANGGOTA bomba berdepan cabaran laluan dan perlu menggunakan bot awam untuk menyeberangi sungai bagi sampai ke lokasi kejadian. 

Kesemua penghuni dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

​Sehingga 2:24 petang, kerja-kerja pemadaman secara menyeluruh menggunakan sumber air daripada paip masih giat dijalankan di bawah seliaan Komander Operasi Kanan, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi. 

Maklumat lanjut mengenai punca kebakaran dan jumlah kerugian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Oleh Adi Safarman

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.