SIMANGGANG: Sebanyak empat projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang telah diserahkan kepada kontraktor bertanggungjawab di sini, kelmarin.
Menurut Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Jilin Itar yang mewakili Datuk Francis Harden Hollis, kesemua empat projek RTP DUN Simanggang berkenaan perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan bermula 17 September hingga 16 Disember tahun ini.
“Dua daripada empat projek RTP itu adalah menaik taraf serta membina dataran kejat di Rumah Waine, Kampung Tawang Ili.
“Selain itu, membina tempat letak kereta serta gelanggang futsal di penempatan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sri Aman,” katanya ketika menyerahkan projek-projek tersebut kepada kontraktor di tapak projek, kelmarin.
Jelasnya lagi, baki dua projek RTP yang lain adalah menaik taraf jalan kubur di Rumah Chau, Kampung San Ugol dan menaik taraf Jalan Kubor di Rumah Grain, Kamoung San Munggor di Undop.
Jilin ketika ditemui berkata projek RTP menaik taraf serta membina dataran kejat di Kampung Tawang Ili telah dilaksana oleh kontraktor Quatamai Sdn Bhd dengan kos sebanyak RM250,000.
Bagi projek RTP membina tempat letak kereta serta gelanggang futsal di RPR Sri Aman pula, katanya, telah pun dilaksanakan oleh Mubok & Daughter Enterprise dengan kos sebanyak RM100,000.
“Projek RTP menaik taraf jalan kubur dan San Ugol dan San Munggor dekat Undop, Batu Lintang, Sri Aman, masing-masing telah dilaksanakan oleh kontraktor Avanzado Enterprise dan LDA Enterprise.
“Kedua-dua projek ini menelan kos sebanyak RM300,000 dan RM150,000,” ujarnya.
Justeru, Jilin berharap agar kontraktor dapat menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan dan bekerjasama dengan agensi pelaksana serta penduduk kampung bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Hadir sama, Ketua Bahagian Kejuruteraan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Fanny Jun Engang, dua Penolong Jurutera MDSA iaitu Dayang Ku Haniza Awang Azahari serta Haizazi Mahdili, Timbalan Pengerusi MDSA, Kaunselor Balean Suji Inggol dan Ahli Majlis MDSA, Kaunselor Micheal Pillow Lachen.
Oleh Valentine Ngumbang