PADAWAN: Empat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di kawasan Parlimen Puncak Borneo bakal bekerjasama menganjurkan karnival, 26 Oktober ini.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, empat PPDK terlibat ialah PPDK Mambong, Siburan, Teng Bukap dan Siniawan.
Katanya, Karnival Komuniti PPDK ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPDK.
“Tujuan utama penganjuran karnival adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pelatih PPDK, warga PPDK dan komuniti setempat selain memperkukuh hubungan komuniti antara warga PPDK di kawasan Mambong, Serumbu dan Tarat iaitu tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Puncak Borneo, dengan masyarakat setempat,” katanya.
Willie berkata demikian kepada media selepas mesyuarat jawatankuasa penganjur karnival di Pusat Khidmat Puncak Borneo, hari ini.
Katanya lagi, acara dijangka berlangsung dari 6.30 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Serbaguna Kampung Bratan/Asah, Jalan Puncak Borneo di sini.
Menurut Willie, program ini menyediakan platform bagi pelatih-pelatih untuk menonjolkan bakat mereka melalui pelbagai acara seperti pertandingan nyanyian, pakaian seragam, pertandingan solek muka, dan sukaneka.
“Menerusi program ini, diharapkan masyarakat lebih menyedari kewujudan PPDK serta peranan penting yang dimainkan dalam membantu golongan kurang upaya melalui pelbagai program pemulihan dan pendidikan,” tambahnya.
Willie turut menyatakan bahawa aktiviti karnival ini merangkumi golongan istimewa bagi memastikan mereka tidak merasa tersisih daripada masyarakat.
Antara aktiviti sepanjang karnival adalah senamrobik, pertandingan sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa, persembahan pelatih-pelatih PPDK, gerai-gerai jualan, pameran, cabutan nombor bertuah, sesi berkaraoke dan persembahan artis jemputan.
Beliau menyeru orang ramai untuk hadir beramai-ramai bagi menyokong karnival ini.
Penaja utama karnival ialah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puncak Borneo serta Pusat Khidmat ADUN Tarat, Mambong, dan Serembu, dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching. Penaja bersama termasuk L.Y.A Group Construction Sdn Bhd, Little Canteen Kopitiam, Big Grain Capital Sdn Bhd, dan Nakdari Group Sdn Bhd.
Pada majlis tersebut, Willie turut menyampaikan geran RM20,000 kepada Pengerusi PPDK Mambong, Razali Jamian, untuk kos penganjuran karnival.
Dalam ucapannya, Willie menggesa kesemua PPDK untuk mengenal pasti tapak sesuai bagi pembinaan bangunan masing-masing. Beliau menyatakan bahawa PPDK Mambong dan Siburan telahpun memperoleh sebidang tanah yang telah diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei sebagai tapak bangunan mereka.
“Dengan adanya bangunan sendiri, selain sebagai tempat aktiviti, saya juga mencadangkan diwujudkan ruang kedai bagi warga PPDK menjalankan perniagaan. Setiap PPDK diharap dapat menghasilkan sekurang-kurangnya empat hingga lima produk untuk dijual di kedai-kedai PPDK yang bakal dibangunkan,” katanya.
Beliau menambah bahawa mulai tahun hadapan, dana akan disalurkan sama rata kepada keempat-empat PPDK untuk membolehkan mereka menganjurkan aktiviti masing-masing.
Oleh Shahrul Qaizat