SARATOK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian terus memperkukuh gerak kerja dan jentera parti di peringkat akar umbi menerusi penganjuran Program Santai Segulai Sejalai di Rumah Jebin Birai, Babang, Krian, semalam.
Program berkenaan berlangsung dalam suasana mesra dan santai, sekali gus menjadi platform untuk ahli PBB tempatan berkumpul, mengeratkan silaturahim serta bertukar pandangan mengenai hala tuju parti.
Ketua Cawangan PBB Krian, Bell Bernard Aggan, berkata kesetiaan, perpaduan dan sokongan padu ahli di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan agenda pembangunan serta kesejahteraan masyarakat terus menjadi keutamaan.
Menurutnya, kekuatan PBB di peringkat akar umbi menjadi antara asas penting dalam memastikan hubungan antara parti dan masyarakat sentiasa kukuh.
Beliau turut menghargai kepercayaan berterusan masyarakat tempatan yang memilih untuk menyertai PBB, termasuk pertambahan keahlian baharu yang disifatkan sebagai perkembangan positif.
Katanya, peningkatan keahlian itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan serta perjuangan PBB dalam membawa pembangunan dan kemajuan Sarawak.
“PBB kekal sebagai tonggak utama dalam mengemudi pembangunan dan kemajuan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Bell berkata, pendekatan mendekati masyarakat menerusi program santai seperti itu penting bagi memberi ruang kepada pimpinan parti mendengar secara langsung pandangan serta keperluan penduduk.
Beliau berharap aktiviti seumpama itu dapat diteruskan secara berkala bagi menyemarakkan semangat Segulai Sejalai dalam kalangan ahli PBB Krian.
Pada masa sama, pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada penduduk Rumah Jebin Birai atas sambutan dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Oleh Adi Safarman



