LAWAS: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) menganjurkan Program LCDA Berambeh ke Lawas bertemakan “LCDA Bersama Komuniti” sebagai salah satu pengisian utama sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-45 LCDA.
Program yang berlangsung selama dua hari di Dataran Bandar Lawas itu dihadiri kira-kira 1,000 pengunjung dan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan.
Program yang julung kali diadakan di Lawas itu bertujuan mendekatkan LCDA dengan komuniti setempat, selain memperkukuh hubungan dan kerjasama menerusi pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, keagamaan dan kebajikan.
Program LCDA Berambeh itu akan diteruskan ke daerah Betong dan Gedong sebagai kesinambungan usaha LCDA untuk memperluas hubungan dengan komuniti di kawasan lain.
Pelbagai aktiviti bersama komuniti diadakan sepanjang program, antaranya pertandingan tarik tali dengan kerjasama Persatuan Tarik Tali Sarawak (PTTS), pertandingan memasak berasaskan buah nanas dengan kerjasama Persatuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) serta pertandingan karaoke bersama Group Santai Karaoke Lawas (GSKL).

Selain aktiviti kemasyarakatan, program itu turut menyaksikan penyaluran sumbangan Zakat Wakalah kepada sekolah agama, sekolah tahfiz dan surau terpilih di Lawas.
Dalam pada itu, LCDA turut meneruskan agenda kelestarian alam sekitar menerusi penanaman 100 batang pokok daripada tujuh spesies di Rimbunan Kaseh Sundar, Lawas, semalam.
Tujuh spesies pokok yang ditanam ialah Sempilor (Decridium pectinatum), Rhu Ronang (Gymnostoma nobile), Medang Tija (Cinnamomum iners), Bintangor Laut (Calophyllum inophyllum), Kasai/Kristal/Matoa (Pometia pinnata), Pelanjau/Empelanjau/Pelong (Pentaspadon motleyi) dan Petai (Parkia speciosa).
Penanaman pokok itu selaras dengan komitmen LCDA terhadap kelestarian alam sekitar serta penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Sementara itu, Majlis Doa Kesyukuran turut diadakan di Masjid Datuk Pengiran Haji Matusin, Kampung Dato Kuala Lawas, semalam.

Majlis berkenaan turut disusuli penyampaian sumbangan kepada 26 asnaf dari empat kampung di Kuala Lawas, terdiri daripada 10 lelaki dan 16 perempuan, selain sumbangan barangan keperluan kepada pihak masjid.
Penganjuran Program LCDA Berambeh ke Lawas bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan 45 tahun penubuhan LCDA, malah memperkukuh hubungan antara agensi itu dengan komuniti menerusi aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, keagamaan, sukan dan kelestarian.
Program itu juga mencerminkan peranan LCDA dalam menyokong pembangunan sosioekonomi Sarawak melalui penglibatan dan kerjasama bersama komuniti setempat.
Hadir pada program berkenaan ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengurus Besar LCDA Datu Sr Haji Zaidi bin Haji Mahdi, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari bin Awang Mahmood serta kenamaan lain.
Oleh Adeng Edrus



