MIRI: Empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau yang mengalami keletihan ketika melakukan aktiviti mendaki di Taman Negara Lambir, di sini, berjaya diselamatkan pasukan bomba malam tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), seramai 17 pelajar menyertai aktiviti mendaki di taman negara berkenaan.
“Seramai 13 pelajar berjaya turun dengan selamat, manakala dua pelajar dipercayai berpatah balik ke kawasan atas bagi mencari dua rakan mereka yang gagal turun akibat keletihan.
“Dua pelajar yang berpatah balik berjaya ditemui pasukan bomba sekitar 6.40 petang, manakala dua lagi pelajar yang keletihan masih belum ditemui ketika itu,” menurut kenyataan PGO.

Menurut kenyataan itu, usaha pencarian diteruskan dan dua pelajar terakhir berjaya ditemui dalam keadaan keletihan sekitar 7.00 malam.
“Usaha membawa kesemua empat pelajar terbabit turun ke lokasi selamat kemudian dijalankan pasukan bomba.
“Kesemua empat pelajar berjaya dibawa turun ke check point bawah sekitar 9.30 malam dalam keadaan selamat,” katanya.
Selepas memastikan keadaan kesemua pelajar selamat, pihak polis membenarkan kesemua 17 pelajar berkenaan pulang.
Operasi yang bermula selepas menerima panggilan pada 3.29 petang dan tamat pada 9.51 malam itu.
oleh Liong Chai Ling




