




PETRA JAYA: Lima muka baharu antara 16 calon yang menang dalam pemilihan bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk sayap Bumiputera.
Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Abdul Yakub Arbi (pada penggal lalu ahli MT dilantik), Ahli Dewan Negara, Senator Dato Ahmad Ibrahim yang kembali semula setelah berehat sepenggal; ADUN Jepak, Iskandar Turkey; PBB Cawangan Samariang, Sulhie Salleh dan Ketua PBB Cawangan Senadin, Julaihi Mohamad.
Keputusan rasmi dalam pemilihan petang semalam, diumumkan sebelum bermulanya Perhimpunan Agung PBB ke-16 untuk hari terakhir di sini pagi ini.
Seperti dijangka, semua wakil rakyat yang bertanding bagi jawatan MT itu menang dalam pemilihan termasuk 11 penyandang.
Mengetuai senarai undi terbanyak ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dengan meraih 1,008 undi.
Ini diikuti Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo dengan 998 undi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi (995 undi); ADUN Kalaka, Mohamad Duri (989), ADUN Daro, Shafiee Ahmad (972).
Pemenang seterusnya ialah Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol (970); Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Ricky@ Mohammad Razi Sitam (964); ADUN Simunjan, Awla Dris (959); ADUN Beting Maro, Razaili Gapor (954).
Turut terpilih PBB Cawangan Tanjong Batu yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan (931); Senator Dato Ahmad Ibrahim (930); ADUN Jepak Iskandar Turkey (901); Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa (901), Sulhie Salleh (761) , Syed Hamzah Wan Hamid Edruce (756) dan Ketua PBB Cawangan Senadin, Julaihi Mohamad (726).
Syed Hamzah dari Sibu adalah calon paling muda iaitu kemenangan keduanya setelah menang jawatan sama pada 2022.