ISTANBUL, 29 Oktober: Tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan satu formasi batuan berbentuk menara runtuh di wilayah Cappadocia, Turkiye, yang tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada Khamis, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, menurut pihak berkuasa.
Wilayah Cappadocia yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia terkenal dengan formasi batuan berbentuk kon yang dikenali sebagai “cerobong pari-pari” (fairy chimneys), hasil aktiviti gunung berapi purba.
“Berdasarkan penemuan awal, dua maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian itu,” kata Menteri Kehakiman, Akin Gurlek menerusi platform X.
Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat menjalankan operasi secara bersepadu bagi mengesan kemungkinan mangsa lain yang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Gabenor tempatan, Huseyin Kok, berkata kejadian berlaku pada 3.15 petang waktu tempatan (12.15 tengah hari GMT) apabila tanah runtuh mencetuskan kejadian batuan runtuh di bandar Goreme, berhampiran muzium terbuka.
Kawasan berkenaan ditutup kepada orang awam susulan kejadian itu, menurut laporan media.
Saksi kejadian melaporkan terdengar bunyi dentuman kuat ketika formasi batuan berbentuk menara berhampiran kawasan parkir terbuka runtuh.
Rakaman televisyen menunjukkan jentera berat digunakan untuk mengalihkan timbunan runtuhan, manakala pasukan penyelamat berkumpul di lokasi bagi mengesan dan menyelamatkan mangsa yang mungkin terperangkap.

“Operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian masih diteruskan. Kerajaan sedang menggerakkan segala sumber yang ada bagi meneruskan usaha di kawasan berkenaan,” kata Kok.
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turkiye telah memulakan kerja-kerja pemuliharaan di wilayah itu bagi melindungi formasi batuan yang rapuh daripada kerosakan akibat perubahan iklim, hakisan semula jadi dan aktiviti manusia.
Pada 2024, satu lagi kejadian runtuhan batuan dilaporkan berlaku di Cappadocia, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Wilayah Cappadocia merupakan destinasi pelancongan utama yang terkenal dengan bandar bawah tanah dan gereja awal Kristian yang diukir pada batuan. Kawasan itu turut popular dengan aktiviti belon udara panas yang menyaksikan puluhan belon berterbangan setiap pagi ketika cuaca cerah.
Bagaimanapun, beberapa kemalangan yang berlaku sebelum ini menimbulkan kebimbangan berhubung aspek keselamatan aktiviti berkenaan. – AFP




