SIBU : Ketika penduduk Kampung Bungan Besar yang lain sudah menikmati bekalan elektrik sejak tiga tahun lalu, empat keluarga di kampung berkenaan masih ternanti-nanti kemudahan asas itu, hingga kini.
Kira-kira 30 ahli keluarga terbabit yang mendiami empat rumah, terlepas daripada menerima bekalan elektrik disebabkan kediaman mereka terletak di seberang sungai.
Salah seorang ahli keluarga terbabit, Sabri Ya, 51, berkata mereka sudah merayu kepada beberapa pihak, namun sehingga kini tiada jaminan bekalan elektrik akan disambung ke kediaman mereka.
Sabri berkata, sejak penduduk kampung yang lain menerima bekalan elektrik pada 2017, mereka terus berharap agar kemudahan itu turut disambung ke kediaman mereka.
“Kami sekadar mendengar penduduk yang lain kini hanya membayar bil elektrik berpuluh ringgit sebulan, sedangkan kami masih berbelanja lebih RM300 untuk membeli bahan api bagi kegunaan generator.
“Penduduk yang lain menikmati bekalan elektrik 24 jam sedangkan kami hanya mampu menghidupkan penjana elektrik lima jam sehari mulai jam 6.00 petang hingga 11.00 malam sahaja,” katanya.
Justeru, beliau amat mengharapkan agar kerajaan negeri dan pihak yang membekalkan utiliti elektrik melihat masalah yang mereka hadapi seterusnya mempertimbangkan untuk membekalkan elektrik ke kediaman mereka.
“Kami membina rumah di seberang kampung ini yang betul-betul berada di seberang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bungan Besar pada 1977.
“Kami berharap, selepas lebih 40 tahun tinggal di sini, kami juga layak menerima kemudahan seperti penduduk yang lain terima,” katanya.
Kediaman empat keluarga terbabit terletak kira-kira satu kilometer dari talian elektrik utama di Kampung Bungan Kecil dan berada di seberang SK Kampung Bungan Besar.
Katanya lagi, mereka yang hanya bekerja kampung amat terkesan dengan perbelanjaan besar untuk mendapatkan bahan api bagi kegunaan penjana elektrik.
“Kami juga teringin untuk berjimat seperti penduduk lain yang membayar bil elektrik jauh lebih murah berbanding kami yang masih menggunakan penjana elektrik,” katanya.
Oleh Nurzilla Mohamad