Empat beranak maut selepas perahu karam di Sungai Baram

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MARUDI: Tragedi perahu karam di Long Selatong, Sungai Baram, Marudi, berakhir dengan penemuan mayat keempat-empat mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.

Mangsa terakhir, Ceria Dullah, 43, ditemukan pada 5.00 pagi hari ini di kawasan Long Miri sebelum disahkan meninggal dunia, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, tiga lagi mangsa yang ditemukan sebelum ini ialah Jonathan Nyurang Lusut, 45, yang ditemukan semalam, serta Joshua Uken Mathew, 38, dan anaknya, Jovian Jangin Joshua, 4, yang ditemukan pada 22 Julai.

Kesemua mangsa berstatus meninggal dunia.

Menurut laporan itu, pasukan SAR bergerak ke lokasi Long Miri pada 7.50 pagi hari ini selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mangsa terakhir pada 5.00 pagi.

“Pasukan SAR tiba di lokasi tebing sungai pada 11.29 pagi dan menggunakan bot orang awam bagi mengambil jasad mangsa yang ditemukan.

“Komander Operasi melaporkan tindakan mengambil jasad mangsa telah selesai dan kini menunggu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi pengesahan status mangsa,” menurut laporan itu.

Jarak lokasi penemuan mangsa terakhir dari lokasi kejadian perahu karam dianggarkan kira-kira 94 kilometer.

Pengesahan status mangsa kemudiannya dilakukan oleh pegawai kesihatan dari Long Miri pada 12.17 tengah hari.

Operasi SAR diketuai Komander Operasi, PBK I Eric Anak Unyi dengan kekuatan lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, selain dibantu Unit Khas K9 SAR bersama dua anggota.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM Long Miri.

Sebelum ini, PGO JBPM Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian perahu karam itu pada 21 Julai lalu pada 12.30 tengah hari di Long Selatong, Sungai Baram, Marudi.

Oleh Afiq Sallehi