
SIBU: Empat atlet muda dari Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang akan mewakili Sarawak dalam Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan TM-KBS-Milo ke-14 yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 April ini di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan.
Pasukan ini diketuai oleh jurulatih Wong Ing Sing dan Chiew Mee Ling, dengan penyertaan empat atlet dalam kategori usia 15 hingga 17 tahun, iaitu Ting Foo Wei, Wong Sie King, Wong Cheng Hui dan Stephanie Ting Rou Ying.
Penasihat kelab, Tan Sri Dato’ Lau Kueng Chai, berkata kejayaan atlet Sarawak meraih empat pingat emas dalam Kejohanan Taekwondo Dunia di Korea Selatan pada tahun 2022 membuktikan potensi besar yang dimiliki oleh mereka.
“Pencapaian terdahulu menunjukkan bahawa atlet Sarawak mempunyai potensi besar. Kita perlu terus memberi peluang dan sokongan agar mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar lebih ramai atlet tempatan dapat mencapai tahap antarabangsa dan seterusnya mewakili negara di kejohanan Asia dan dunia.
Lau, yang juga Naib Presiden Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak, mendedahkan bahawa Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Kelayakan Asia pada hujung Julai ini – satu kejohanan yang disifatkannya sebagai acara taekwondo paling berprestij pernah dianjurkan di negeri itu.
Beliau turut menyatakan komitmennya untuk mengetuai pasukan negara ke Korea Selatan bagi menyertai Kejohanan Terbuka Taekwondo, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mengangkat martabat sukan taekwondo negara.
Majlis penyerahan bendera kepada pasukan telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato Sri Wong Soon Koh, yang juga penaung utama pasukan.
Oleh Akun Giman