
Elliott (kanan) menjaringkan gol tunggal Liverpool yang menang 1-0 ke atas PSG di Parc des Princes, Paris. - AFP
PARIS: Harvey Elliott menjaringkan gol menerusi sentuhan pertamanya selepas masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan, sekali gus membolehkan Liverpool menang 1-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.
Elliott baru sahaja masuk menggantikan Mohamed Salah apabila dia menjaringkan gol hasil hantaran Darwin Nunez pada minit ke-87 di Parc des Princes, memberikan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kelebihan menjelang perlawanan timbal balik minggu depan.
Ia adalah aksi sempurna pasukan kendalian Arne Slot, yang sehingga saat itu kekal bertahan daripada serangan bertali arus PSG yang berada dalam prestasi terbaik.
Khvicha Kvaratskhelia menjaringkan gol pada babak pertama, tetapi ia dibatalkan kerana ofsaid.
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker melakukan beberapa aksi penyelamatan penting ketika pendahulu liga Perancis itu mencatatkan 28 percubaan berbanding hanya dua oleh pasukan pelawat.
Salah hampir tidak kelihatan sepanjang perlawanan dan Liverpool tampak bakal gagal menjaringkan gol buat kali keempat musim ini.
Namun, kemenangan itu memberi mereka keyakinan untuk memanfaatkan kelebihan di Anfield, minggu depan.
Jika mereka berjaya mara ke suku akhir, lawan menanti adalah Aston Villa atau Club Brugge.
Bagaimanapun, PSG menunjukkan mereka tetap menjadi ancaman besar apabila beraksi di England.
Pasukan kendalian Luis Enrique memasuki perlawanan ini dengan rekod 10 kemenangan berturut-turut dan menjaringkan 21 gol dalam lima aksi UCL sebelum ini, termasuk kemenangan 4-2 ke atas Manchester City pada Januari.
Namun, prestasi mereka kali ini lebih menyerupai permulaan kempen UCL mereka apabila bergelut untuk menyudahkan peluang dalam kekalahan menentang pasukan seperti Arsenal, Atletico Madrid dan Bayern Munich.
Kvaratskhelia yang menyertai PSG pada Januari, dipilih dalam kesebelasan utama menggantikan bakat muda yang menyerlah, Desire Doue.
Pemain Georgia itu melengkapkan trio serangan bersama Bradley Barcola dan Ousmane Dembele.
Sementara itu, Liverpool kehilangan Cody Gakpo menyebabkan Diogo Jota diberikan peluang membuat penampilan pertamanya dalam aksi UCL sejak 2 Oktober.
Pertembungan dinanti-nantikan antara pendahulu EPL dan Ligue 1 itu dijangka menjadi ujian paling sukar buat Liverpool musim ini dan perlawanan berlangsung seperti dijangkakan apabila PSG memberi tekanan hebat.
PSG kini bukan lagi pasukan yang bergantung kepada beberapa bintang besar untuk menyerlah, sebaliknya sebuah unit dinamik yang bekerja keras di bawah bimbingan jurulatih Sepanyol itu.
Mereka mengancam Liverpool sejak awal perlawanan dan menguasai 65 peratus penguasaan bola sepanjang perlawanan. – AFP