Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Ella ceburi industri fesyen muslimah
  • HIBURAN

Ella ceburi industri fesyen muslimah

Utusan Sarawak 5 months ago
RATU rock negara, Nor Zila Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Ella (tengah) ketika Muslimah Fest 2024 di pusat membeli-belah Mid Valley Megamall baru-baru ini. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Setelah berjaya bergelar ‘tauke cili’, Ratu Rock Negara Ella terus mengorak langkah dalam bidang perniagaan dan kali ini memilih  bidang fesyen muslimah melalui jenama RockQueen yang ditubuhkannya tiga tahun lepas.

Ella, atau  nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 57, berkata langkah berkenaan diambil berdasarkan minat mendalamnya terhadap fesyen, selain keinginan untuk memberi inspirasi kepada perubahan diri dan budaya ekspresi diri.

RockQueen menurut isteri kepada Azhar Ghazali itu,  diinspirasikan oleh gaya urban dengan sentuhan elegan minimalis yang menggabungkan perincian berani selain turut direka bagi memastikan keselesaan dalam pergerakan.

ELLA (kanan) bersama penyanyi, Kaka Azraff atau nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff.

“Saya suka fesyen dan saya suka abaya (jubah), tetapi saya tidak mahukan abaya yang sama seperti yang biasa dilihat. Sebaliknya, saya mahukan abaya yang lebih bergaya dengan unsur-unsur berani, unik dan moden, sesuai dengan cita rasa saya.

“Setiap koleksi pakaian ini hasil ilham saya sendiri yang juga dipengaruhi oleh pengalaman saya selepas menunaikan haji,” katanya kepada media selepas pelancaran jenama itu di Muslimah Fest 2024, baru-baru ini.

Biarpun sibuk dengan perniagaan, pelantun lagu Layar Impian ini berharap karier seninya juga terus bergerak seiring.

“Walaupun saya sibuk merancang melebarkan sayap perniagaan ke pasaran antarabangsa, saya juga berhasrat mengadakan konsert solo pada tahun depan.

“Kali ini, saya akan tampil dengan konsert yang berbeza. Saya teruja dan tidak sabar menantikannya. Jika tiada aral melintang, mungkin saya juga akan muncul dengan album baharu, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai  program realiti Gegar Vaganza yang dikatakan merendahkan martabat artis bertanding, Ella berpendirian program terbitan Astro itu merupakan satu platfom persaingan bakat yang sihat dalam kalangan penyanyi berpengalaman untuk  kembali aktif dalam bidang nyanyian.

ELLA (kanan) bercakap kepada media.

“Saya rasa program ini tidak memalukan, malah ia adalah satu program yang sihat kerana ia mencabar diri kita sendiri. Mereka yang berani dan berminat untuk menyahut cabaran, boleh menyertainya… kenapa tidak?

“Jika mahu membaiki format Gegar Vaganza, ia boleh ditambah baik untuk menjadi lebih berkualiti. Apapun, ia tetap sebuah program yang bagus,” katanya yang pernah tampil sebagai juri jemputan dalam All Stars Gegar Vaganza.

Penyanyi Man Bai sebelum ini dilaporkan mengaku tidak berminat untuk terbabit dalam program Gegar Vaganza kerana menyifatkan format pertandingan nyanyian itu memalukan penyanyi berpengalaman.

– Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Festival Rock In The Jungle 2024 gabungan rock epik, pesona alam semula jadi
Next: CMWP berjaya lancar tiga ‘single’ untuk tiga artis tempatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.