MIRI: Bunyi bising ekzos motosikal yang diubah suai antara kesalahan dikesan polis dalam Ops Motosikal di sekitar bandar raya ini, semalam.
Hasil operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, sebanyak 15 motosikal diperiksa manakala 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
Operasi bermula 5.00 petang hingga 10.00 malam itu turut menumpukan beberapa lokasi termasuk Jalan Bintang, Jalan Marina, Jalan Miri Bypass dan Jalan Grand Old Lady.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, seramai 17 lelaki dan seorang perempuan diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Antara kesalahan dikesan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, ekzos menghasilkan bunyi bising, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran dan penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi membendung aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Mohd Farhan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi spesifikasi asal,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling





