Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Zen Low wakil tunggal Sarawak di pentas GT3 dan Siri Le Mans Asia
  • INSPIRASI

Eksklusif: Zen Low wakil tunggal Sarawak di pentas GT3 dan Siri Le Mans Asia

Utusan Sarawak 6 hours ago
ZEN Low (tengah) meraikan kejayaan di podium selepas perlumbaan, membuktikan kemampuan pelumba kelahiran Kuching itu bersaing di pentas GT antarabangsa. Foto Zen Low 

KUCHING: Dalam saingan perlumbaan GT bertaraf antarabangsa dan Siri Ketahanan Le Mans Asia, hanya satu nama dari Sarawak berjaya mencipta kehadiran di pentas global yang dipenuhi deruman enjin, strategi perlumbaan yang kompleks serta kos penyertaan mencecah jutaan ringgit.

Nama itu ialah Zen Low.

Dalam temu bual eksklusif bersama Utusan Sarawak, pelumba kelahiran Kuching itu berkata, beliau kini merupakan satu-satunya pelumba dari Sarawak yang bersaing dalam kategori GT3 dan LMP (Le Mans Prototype) di peringkat antarabangsa.

Satu pengiktirafan yang sering terlepas daripada perhatian umum, namun hakikatnya amat signifikan dalam sukan yang bukan sahaja menuntut kelajuan, malah memerlukan sokongan kewangan yang besar, disiplin yang tinggi serta sistem sokongan yang mantap.

ZEN Low bersama jentera perlumbaannya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya beliau dalam dunia sukan permotoran global. Foto Zen Low 

“Ketika ini, saya merupakan satu-satunya pelumba dari Sarawak yang bersaing dalam kategori GT3 dan LMP di peringkat antarabangsa. Di Kuala Lumpur pula sudah ada beberapa pelumba yang turut beraksi dalam kategori berkenaan,” katanya.

Lalui Kehidupan Sederhana

Sebelum dunia perlumbaan menjadi sebahagian daripada kehidupannya, Zen membesar di Kuching dalam suasana yang jauh daripada sukan permotoran.

Pada ketika itu, telefon pintar belum wujud, televisyen masih berwarna hitam putih, manakala pengalaman mengejar kelajuan hanya dirasai di jalan kampung dengan menunggang basikal.

ZEN Low ketika beraksi di litar, menguji kemahiran dan ketahanan dalam saingan perlumbaan berprestasi tinggi. Foto Zen Low 

“Pada masa itu, kami hanya bermain di luar rumah. Malah, memiliki sebuah basikal pun sudah dianggap satu kemewahan,” katanya mengimbau kenangan.

Basikal BMX menjadi titik permulaan minatnya terhadap dunia perlumbaan, bukan melalui latihan atau sukan yang terancang, sebaliknya lahir daripada naluri semula jadi untuk berlumba dan mengejar kelajuan.

“Saya tidak tahu pun apa itu sukan permotoran. Ketika itu saya langsung tidak tahu apa itu sukan permotoran. Saya hanya memandu dan berlumba. Tiada teknik, tiada latihan,” katanya.

Perlumbaan berlaku secara spontan di kampung, tanpa litar khas, tanpa sistem keselamatan dan tanpa bimbingan yang teratur.

ZEN Low berkata kejayaan dalam sukan permotoran memerlukan lebih daripada kelajuan, sebaliknya disiplin, sokongan kewangan dan komitmen berterusan. Foto Zen Low 

Namun, di situlah lahirnya asas yang membentuk dirinya sebagai seorang pelumba, meskipun ketika itu dia sendiri tidak menyedari bakat dan minat yang sedang berkembang.

Kerja Sambilan Di UK Demi Kejar Impian

Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di United Kingdom, minat Zen terhadap dunia perlumbaan terus mekar.

Namun, kehidupan sebagai pelajar di luar negara bukanlah mudah.

Demi meneruskan minat dalam perlumbaan karting, beliau melakukan pelbagai kerja sambilan, termasuk bekerja di pasar raya dan dalam perkhidmatan penghantaran, bagi mengumpul wang untuk membiayai penyertaannya di litar pada setiap hujung minggu.

Segala pengorbanan itu dilakukan demi mengejar impian yang ketika itu masih jauh daripada menjadi kenyataan.

ZEN Low melihat lebih ramai anak Sarawak berpotensi melangkah ke pentas antarabangsa jika diberi peluang dan sokongan yang sesuai. Foto Zen Low

“Saya lakukan apa sahaja kerja untuk mendapatkan wang supaya dapat berlumba. Kadangkala, semua usaha itu hanya untuk menikmati sesi pemanduan selama 10 minit,” katanya.

Pengalaman itu membuka matanya terhadap realiti sebenar dunia sukan permotoran, yang menuntut bukan sahaja bakat dan kemahiran, tetapi juga pengorbanan, ketabahan serta kemampuan untuk terus bertahan.

Perlumbaan Dan Penajaan

Bagi Zen, kejayaan dalam sukan permotoran tidak hanya diukur berdasarkan prestasi di litar. Sebaliknya, seseorang pelumba juga perlu mampu bertahan dalam ekosistem yang sangat bergantung kepada sokongan kewangan, penajaan dan nilai komersial.

Dalam perlumbaan GT antarabangsa dan acara ketahanan, pelumba perlu mampu menarik minat penaja yang melihat nilai pulangan pelaburan (ROI), bukan sekadar bakat semata-mata.

ZEN Low terus berkongsi pengalaman dan ilmu perlumbaan kepada generasi baharu yang berminat dalam sukan permotoran. Foto Zen Low 

“Setiap syarikat mempunyai bajet pemasaran. Mereka mahu melihat siapa yang mampu memberikan nilai kembali kepada mereka,” jelasnya.

Apabila seseorang pelumba mula mencipta kejayaan dan mendapat perhatian, penaja lazimnya akan datang sendiri. Namun, sebelum berada di tahap itu, pelumba perlu berusaha mencari peluang dan membina nilai diri terlebih dahulu.

“Sebelum perkara itu berlaku, kami yang perlu berusaha mendekati mereka terlebih dahulu,” katanya.

Nilai seseorang pelumba juga boleh berubah mengikut musim, bergantung kepada prestasi perlumbaan dan tahap pendedahan yang diperoleh.

“Kalau tidak menang, nilai kita boleh menurun. Segalanya perlu dirunding semula,” tambahnya.

Struktur Sukan Dan Realiti Peluang

Berbeza dengan Formula One yang hanya menyediakan sekitar 22 kerusi pelumba setiap musim, kategori GT dan perlumbaan ketahanan seperti 24 Hours of Le Mans menawarkan ratusan peluang menerusi pelbagai siri antarabangsa.

ZEN Low membawa nama Sarawak ke arena perlumbaan antarabangsa selepas membina kerjaya dalam kategori GT3 dan perlumbaan ketahanan. Foto Zen Low 

Namun, setiap peluang tetap bergantung kepada satu faktor utama keupayaan pelumba mendapatkan penajaan dan sokongan kewangan.

Dalam kebanyakan kejohanan GT antarabangsa, satu musim boleh melibatkan perlumbaan di lebih 10 negara, menjadikan pelumba seperti pengembara profesional yang sentiasa bergerak mengikut kalendar sukan permotoran dunia.

Zen kekal aktif dalam GT racing, termasuk menyertai siri perlumbaan ketahanan Asian Le Mans Series yang terkenal sebagai antara cabaran paling mencabar dalam dunia permotoran.

Perlumbaan ketahanan bukan sekadar menguji kelajuan, tetapi turut menguji ketahanan fizikal, mental dan strategi pasukan. Perlumbaan boleh berlangsung antara tiga hingga 24 jam, dengan tiga pelumba bergilir memandu sebuah jentera yang sama.

“Cuaca boleh berubah dengan sangat pantas. Satu bahagian litar mungkin basah, manakala bahagian lain masih kering,” katanya.

Dalam perlumbaan sebegini, strategi, fokus dan ketahanan mental sama pentingnya dengan kepantasan di litar.

Walaupun kelihatan ekstrem, Zen berkata perlumbaan di litar sebenarnya jauh lebih selamat berbanding pemanduan biasa di jalan raya.

Setiap perlumbaan disokong dengan sistem keselamatan lengkap, termasuk pasukan perubatan, doktor serta helikopter kecemasan.

“Di litar, semuanya sudah tersedia seperti doktor, pasukan keselamatan dan helikopter,” katanya.

Namun, situasi di jalan raya amat berbeza.

“Di jalan raya, semua kemudahan itu tidak ada,” tambahnya.

Sepang Titik Perubahan

Kepulangan Zen ke Malaysia pada 1994 membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.

Namun, detik paling penting dalam kerjayanya hadir apabila Sepang International Circuit mula beroperasi pada 1999.

“Sepang menjadi fokus saya. Saya mahu jadi pelumba. Saya tidak peduli bagaimana caranya. Saya hanya mahu berada di sana,” katanya.

Beliau kemudian membina pengalaman dalam industri automotif sebelum kembali ke litar sebagai pelumba amatur (gentleman driver), sebelum melangkah ke pentas perlumbaan antarabangsa.

Berbanding Formula One yang hanya menawarkan sekitar 22 kerusi pelumba setiap musim, menjadikannya antara sukan paling kompetitif di dunia, kategori GT dan perlumbaan ketahanan menyediakan lebih banyak peluang.

Namun, peluang tersebut tetap bergantung kepada kemampuan mendapatkan sokongan kewangan dan penajaan.

“Kalau tiada wang, memang sangat sukar untuk masuk,” katanya.

Generasi Baharu Dan Pembelajaran Moden

Dunia sukan permotoran hari ini jauh berbeza berbanding era terdahulu.

Simulator kini menjadi antara kaedah latihan utama bagi pelumba muda, termasuk anaknya sendiri.

“Hari ini mereka belajar melalui simulator. Mereka boleh mengulangi pusingan, melakukan simulasi kemalangan, menetapkan semula dan bermula kembali. Kami dahulu tidak mempunyai kemudahan seperti itu,” katanya.

Kini, Zen lebih banyak memainkan peranan sebagai pembimbing kepada generasi baharu, termasuk anaknya, Ayrton, yang turut mengikuti jejak langkahnya dalam dunia permotoran.

Beliau berkongsi ilmu berkaitan aspek teknikal, strategi perlumbaan serta pengalaman sepanjang bergelar pelumba, sambil menegaskan bahawa kemahiran sebenar tetap hanya dapat dibentuk menerusi pengalaman di litar sebenar.

Harapan Untuk Sarawak

Zen berharap lebih ramai anak Sarawak berani menceburi bidang sukan permotoran walaupun menyedari cabaran dari segi kos dan peluang yang perlu ditempuh.

“Saya mahu melihat lebih ramai anak Sarawak mencapai tahap ini atau pergi lebih jauh. Buat masa ini, saya seorang sahaja di sini, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil,” katanya.

Daripada seorang kanak-kanak membesar dengan basikal BMX di jalan kampung, hingga melangkah ke pentas perlumbaan GT3 dan prototaip Le Mans antarabangsa, Zen Low kini menjadi satu-satunya wakil Sarawak yang bersaing di arena perlumbaan global.

Kisahnya bukan sekadar tentang kelajuan, tetapi mengenai ketahanan, pengorbanan, penajaan dan keazaman untuk bertahan dalam industri yang sangat kompetitif.

Perjalanannya membuktikan bahawa impian dari Sarawak juga mampu melangkah jauh ke pentas dunia dan mungkin membuka jalan kepada lebih ramai pelumba tempatan selepas ini.

Oleh Adele Rissa

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Warisan diolah dengan inovasi, Acar Timun Gula Apong tarik perhatian ramai

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.