
SARIKEI: Usia muda bukan penghalang untuk menjadi seorang insan yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.
Utusan Sarawak telah menemu bual seorang belia yang mengambil inisiatif untuk menjual satay dan panggang sempena Ramadan di Bazar Ramadan Majlis Daerah Sarikei (MDS) 2025, sebentar tadi.
Awang Ashraf Awang Hamdan berumur 23 tahun, berasal dari Sarikei dan nama gerainya di bazar MDS adalah Amin BBQ.
“Kami mula berniaga sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih kurang tujuh tahun lepas.
“Antara yang dijual di sini, satay ayam, kambing, daging, hati ayam, badal ayam, tongkeng (buntut) ayam dan sayap ayam,” katanya.

Katanya, harga satay ayam, kambing dan daging adalah RM1 secucuk.
“Menu spesial di gerai kami adalah satay kambing….sebab satay ini kami perap selama tiga hari di rumah.
“Selepas tiga hari, baru kami keluarkan dan memanggangnya,” katanya.
Tambahnya, satay kambing yang dijual digerainya mendapat sambutan menggalakkan sepanjang Ramadan.
Dalam pada itu, Awang Ashraf menasihati belia seangkatannya yang belum mempunyai pekerjaan, supaya menceburi bidang perniagaan sendiri.
“Macam buka gerai (kedai) biasa, seperti kami membuka gerai untuk berniaga di Uptown Sarikei.
“Macam mereka yang tak ada pekerjaan, boleh cuba membuka gerai untuk kelangsungan hidup,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek