KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin sebelum menurun kemudiannya berikutan sentimen pasaran yang terjejas oleh prestasi Wall Street semalaman yang lemah.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 3.43 mata atau 0.21 peratus kepada 1,608.13 daripada 1,611.56 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.44 mata kepada 1,612.00.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 224 berbanding 117 manakala 280 kaunter tidak berubah, 2,280 tidak diniagakan dan 59 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 171.85 juta unit bernilai RM64.49 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah secara keseluruhan berikutan harga minyak mentah naik melebihi AS$115 setong susulan kebimbangan bahawa ketegangan di Asia Barat dijangka terus meningkat.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent menurun 1.15 peratus kepada AS$115.38 setong.
“Dalam dagangan awal, FBM KLCI terus meningkat melebihi paras 1,610 berikutan aktviti belian saham yang berterusan.
“Bagaimanapun, dagangan tidak menentu berikutan tekanan jualan yang masih ketara di sebalik aktiviti belian saham pada harga rendah.
“Oleh itu, kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,605 hingga 1,615 berikutan dagangan yang dijangka kurang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menurun enam sen kepada RM10, Public Bank dan Tenaga Nasional, masing-masing berkurangan dua sen kepada RM4.73 dan RM13.28 manakala CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing mendatar pada RM7.15 dan RM7.90.
Dalam dagangan aktif, Zetrix AI kekal tidak berubah pada 7.5 sen, Ni Hsin merosot 1.5 sen kepada 47.5 sen manakala Axteria meningkat empat sen kepada 18 sen, VinVest Capital naik satu sen kepada empat sen dan Revenue IF menambah setengah sen kepada sembilan sen
Mulpha International mendahului kaunter paling untung, meningkat 14 sen kepada RM2.70, Tomei dan Amway, masing-masing menambah lapan sen kepada RM1.75 dan RM4.08 serta Scientex naik tujuh sen kepada RM3.59
Kaunter paling rugi ialah Kuala Lumpur Kepong menurun 36 sen kepada RM20.16, YTL Power berkurangan lapan sen kepada RM5.24. See Hup Consolidated merosot tujuh sen kepada 60.5 sen dan Hong Leong Bank menyusut enam sen kepada RM21.14.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menurun 20.14 mata kepada 11,973.31 dan Indeks FBM Top 100 berkurangan 20.94 mata kepada 11,776.67.
Indeks FBM Mid 70 merosot 13.09 mata kepada 17,157.24, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 8.68 mata kepada 11,934.89 dan Indeks FBM ACE berkurangan 11.22 mata kepada 5,334.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.11 mata kepada 175.51, Indeks Tenaga meningkat 1.10 mata kepada 835.77, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 50.16 mata kepada 18,604.16 dan Indeks Perladangan menyusut 33.06 mata kepada 8,644.42.- Bernama




