
SANTUBONG: Keunikan alam dan budaya Sarawak bukan sahaja dipersembahkan menerusi muzik di Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026, malah turut diterjemahkan dalam rangkaian wangian tempatan yang diinspirasikan daripada haruman pandan, teh dan lada hitam sebagai usaha memperkenalkan identiti negeri ini kepada pengunjung antarabangsa.
Pengasas Desservebarn, Julie Chia yang turut menghasilkan produk pelembap bibir buatan tangan di bawah jenama sama, berkata rangkaian minyak wangi dikenali sebagai SUHHU itu dibangunkan khusus bagi individu yang sensitif terhadap wangian komersial, selain menampilkan sentuhan tempatan melalui pilihan haruman serta rekaan pembungkusan.
“Idea menghasilkan wangian tersebut tercetus daripada keperluan peribadi apabila beliau tidak dapat menggunakan kebanyakan minyak wangi di pasaran kerana mudah mengalami migrain dan sakit kepala.
“Bagi saya, kebanyakan minyak wangi terlalu kuat sehingga boleh mencetuskan sakit kepala. Jadi saya perlu menghasilkan wangian sendiri yang lebih lembut dan sesuai untuk diri saya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di gerai pameran RWMF di sini.
Menurutnya, rangkaian itu menawarkan empat jenis haruman utama iaitu pandan dan teh yang memberikan bau segar, lada hitam yang lebih beraroma hangat serta sedikit buah-buahan, selain haruman bunga dan sitrus yang lebih ringan serta menenangkan.

Tambahnya, setiap wangian direka bukan sahaja untuk kegunaan harian, malah sesuai digunakan sebagai produk gaya hidup yang membawa identiti tempatan Sarawak kepada pengunjung.
“Selain bau, kami juga mahu ia membawa cerita Sarawak. Sebab itu pembungkusan kami turut menampilkan elemen seperti burung kenyalang dan motif tempatan,” jelasnya.
Julie berkata, beliau berharap produk berasaskan inspirasi tempatan itu dapat memperkenalkan Sarawak dengan cara yang lebih kreatif, khususnya kepada pelawat luar negara yang hadir ke festival berkenaan.
Dalam masa sama, beliau turut berharap RWMF terus menjadi platform yang mampu menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang sekali gus memberi ruang lebih besar kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing.
“Suasana di sini sangat baik, tetapi saya harap lebih ramai pengunjung dapat datang supaya lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk vendor dan penggiat industri kecil,” katanya.
RWMF yang berlangsung di Santubong setiap tahun menjadi antara festival muzik dunia paling terkenal di rantau ini, menghimpunkan pengunjung serta penggiat seni dari pelbagai negara.
Oleh Adele Rissa