KUCHING: Kunjungan singkat sekitar 10 hingga 15 minit ke Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Jagoi-Babang, Indonesia, baru-baru ini sudah cukup menghidupkan kembali kenangan penulis mengunjungi Kalimantan Barat pada Disember 2024.
Kunjungan itu berlangsung ketika penulis mengikuti tugasan lapangan di Serikin, Bau bagi meninjau tapak Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin yang masih dalam proses pembangunan.
Penulis kemudian mengikuti rombongan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, yang diiringi Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, ke PLBN Jagoi-Babang yang telah siap dibangunkan.

Pengalaman selama empat hari dari 3 hingga 6 Disember 2024 itu membuka pandangan bahawa warisan Dayak bukan hanya terikat pada sempadan pentadbiran, sebaliknya terus hidup melalui komuniti, kemahiran tradisional dan individu yang mempertahankannya.
Dari Terminal Bas Kuching Sentral, penulis dan Tina, seorang rakan sekerja dari Rusia, merentasi sempadan Tebedu-Entikong sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Kalimantan Barat.
Laluan darat kira-kira lapan jam itu turut membawa kami berhenti di Sosok, sebuah lokasi persinggahan yang sering menjadi hentian bagi bas dari Sarawak.
Di situ, kehadiran Tina menarik perhatian beberapa penduduk tempatan yang ingin mengetahui tujuan perjalanan mereka.

Tidak ramai pelawat asing memilih perjalanan darat untuk mengenali Kalimantan, lebih-lebih lagi melalui laluan sempadan.
Penulis menjelaskan bahawa Tina merupakan rakan sekerja yang turut menyertai perjalanan tersebut bagi tujuan pelancongan dan memahami lebih dekat kehidupan serta budaya masyarakat setempat.
Setibanya di Pontianak, beberapa perkara kecil yang sebelum ini hanya dikenali melalui cerita dan tontonan mula menjadi pengalaman sebenar buat penulis.
Deretan motosikal di jalan raya, warung-warung kecil di sepanjang laluan, pengalaman menikmati bakso buat pertama kali serta mencuba minuman yang begitu sinonim dengan Indonesia, iaitu es teh, memberikan gambaran tersendiri tentang kehidupan harian masyarakat di sana.

Perjalanan tersebut tercetus melalui penglibatan penulis bersama sebuah syarikat pelancongan berpangkalan di New Zealand, yang ketika itu turut disertai Tina yang mempunyai latar belakang dalam bidang antropologi.
Sepanjang berada di sana, mereka turut ditemani Yandy Koresy dan Paulina Jimmi, kenalan keluarga yang membantu melancarkan perjalanan.
Antara destinasi utama ialah Rumah Panjang Saham di Desa Saham, Kabupaten Landak, kediaman masyarakat Dayak Ahe atau Dayak Kanayatn.
Kira-kira tiga jam setengah dari Pontianak, Rumah Panjang Saham bukan sekadar bangunan tradisional, tetapi ruang yang menyimpan sejarah, adat serta cara hidup masyarakat Dayak Kanayatn yang diwarisi turun-temurun.

Menariknya, bagi Tina yang datang dari luar Borneo, pengalaman melihat Rumah Panjang Saham memberikan perspektif berbeza apabila beliau menyedari reka bentuk dan suasana rumah panjang berkenaan tidak jauh berbeza daripada rumah panjang yang terdapat di Sarawak.
Bagi penulis, persamaan itu mungkin sesuatu yang biasa dilihat kerana masyarakat Dayak di kedua-dua wilayah berkongsi akar sejarah dan budaya yang sama.
Namun, pandangan daripada seseorang dari luar Borneo itu memperlihatkan betapa kuatnya persamaan warisan yang merentasi sempadan.
Di situ, penulis ditemani Peter, salah seorang penduduk tempatan yang membantu memahami bahasa masyarakat setempat serta berkongsi kisah mengenai kehidupan komuniti di rumah panjang berkenaan.

Menurut Peter, sebelum pandemik COVID-19, Rumah Panjang Saham pernah menerima sekitar 200 hingga 300 pengunjung setiap bulan yang hadir untuk mengenali budaya Dayak Kanayatn serta mendapatkan hasil kraf tangan tempatan.
Antara tarikan utama ketika itu ialah ukiran kayu hasil tangan seorang tukang ukir tempatan.
Namun, selepas pemergian pengukir berkenaan, kemahiran menghasilkan ukiran tradisional berdepan cabaran untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
Pandemik COVID-19 turut memberi kesan apabila kegiatan pelancongan terhenti.

Selepas sektor itu kembali dibuka, jumlah pengunjung masih belum kembali seperti sebelum pandemik, dengan anggaran komuniti sekitar 80 hingga 90 orang sebulan.
Keadaan itu turut memberi kesan kepada penduduk yang bergantung kepada jualan kecil-kecilan serta hasil kraf tangan sebagai sumber pendapatan.
Dalam perjalanan pulang dari Landak menuju Pontianak pada 4 Disember 2024, penulis turut singgah di Gereja Katolik Santo Yohanes Pemandi, Paroki Pahauman, Keuskupan Agung Pontianak.
Gereja berkenaan menarik perhatian menerusi penggunaan unsur ukiran dan motif Dayak pada reka bentuknya, memperlihatkan bagaimana identiti budaya terus hadir dalam pelbagai ruang kehidupan masyarakat.

Sehari kemudian, perjalanan diteruskan ke Sanggar Tamai Ogong di Kecamatan Sungai Raya, Kabupaten Kubu Raya, sebuah ruang yang menyatukan karya seni dan kehidupan masyarakat Dayak.
Di situ, penulis berpeluang mengenali lebih dekat Christian Mara, atau lebih dikenali sebagai Pak Mara, seorang penggiat seni dan budaya Dayak di Kalimantan Barat.
Sanggar Tamai Ogong memperlihatkan budaya Dayak melalui suasana yang penuh warna dan karya seni yang dekat dengan kehidupan seharian.
Antara yang menarik perhatian penulis ialah sebuah jam dinding berbentuk sape, selain ukiran kayu, topeng tradisional serta figura berbentuk manusia yang membawa gambaran tentang hubungan masyarakat Dayak dengan leluhur dan warisan nenek moyang.

Walaupun sebahagian besar masyarakat Dayak hari ini telah menganut agama Kristian, perubahan kepercayaan tidak memutuskan hubungan mereka dengan sejarah, asal-usul serta penghormatan terhadap warisan yang diwarisi turun-temurun.
Di Sanggar Tamai Ogong, Pak Mara turut memperkenalkan hasil kerja tangannya termasuk alat muzik tradisional seperti sape, selain berkongsi mengenai penghasilan lagu-lagu tempatan.
Bersama Tina, penulis berkesempatan mencuba memainkan sape dengan tunjuk ajar daripada beliau, selain menyaksikan beliau memainkan beberapa alat muzik tradisional lain yang dihasilkan sendiri.
Pertemuan itu menjadi lebih bermakna apabila penulis dan Pak Mara berkomunikasi dalam bahasa Iban, satu persamaan bahasa yang menghubungkan masyarakat Dayak dari dua sisi sempadan Borneo.

Menurut Pak Mara, pemeliharaan budaya Dayak bukan sekadar mengekalkan hasil seni lama, tetapi memastikan nilai, cerita dan identiti masyarakat itu terus difahami generasi akan datang.
Beliau turut menunjukkan beberapa hasil reka bentuk kraftangan yang dihasilkannya, termasuk model mini Rumah Radakng sebelum Yandy membawa rombongan mengunjungi mercu warisan berkenaan.
Selain jejak budaya Dayak, perjalanan itu turut membawa penulis mengenali beberapa mercu tanda Pontianak termasuk Tugu Khatulistiwa serta Gereja Katedral Santo Yosef.
Beberapa ketika selepas perjalanan itu berakhir, satu pesanan daripada Paulina kembali mengingatkan penulis kepada kenangan di seberang sempadan.
“Kak, kapan liburan ke Indo lagi?”
Soalan ringkas itu mungkin sekadar pelawaan untuk kembali berkunjung, namun bagi penulis, ia membawa makna yang lebih besar.

Perjalanan ke Kalimantan bukan hanya tentang mengenali tempat baharu, sebaliknya menemukan persamaan, persaudaraan dan hubungan yang terjalin melalui budaya, bahasa serta pengalaman bersama.
Daripada Rumah Panjang Saham di Landak hingga Sanggar Tamai Ogong di Kubu Raya, perjalanan singkat itu meninggalkan satu kesedaran bahawa warisan bukan hanya terletak pada bangunan, ukiran atau alat muzik tradisional, tetapi pada manusia yang terus menghidupkan dan mewariskannya.
Walaupun dipisahkan oleh sempadan negara, masyarakat Dayak di Sarawak dan Kalimantan berkongsi akar sejarah serta budaya yang menghubungkan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar Borneo.
Kerana pada akhirnya, warisan bukan sekadar tentang apa yang diwarisi daripada masa lalu, tetapi juga tentang insan yang membuatkan kita ingin kembali.
Oleh Adele Rissa





