DALAM pasaran yang semakin kompetitif, keunikan menjadi kunci kejayaan sesebuah perniagaan.
Bagi Gloria Briding, 29, minatnya yang mendalam terhadap seni dan kraf telah mendorongnya untuk mengusahakan perniagaan hadiah dan jambangan bunga, Glorious Gifts, sebagai sumber pendapatan sampingan.
Apa yang membezakan Glorious Gifts daripada perniagaan lain di Kuching ialah kemampuannya menawarkan hadiah yang boleh disesuaikan mengikut bajet dan keperluan pelanggan.
Selain gubahan bunga segar, tempahan juga boleh merangkumi pelbagai elemen seperti beg tangan, makanan, dan wang kertas, menjadikan jambangan lebih eksklusif dan bermakna.

Dari Rantai Kunci ke Perniagaan Gubahan
Segalanya bermula ketika di bangku sekolah, apabila Gloria mula menjual rantai kunci nama yang direka khas.
Dari situ, beliau menyedari bakatnya dalam menghasilkan produk kreatif dan semakin yakin untuk meneroka bidang ini.
“Saya mengubah kreativiti dan minat saya terhadap seni menjadi satu perniagaan, begitu juga dengan apa yang saya usahakan hari ini.
Pelbagai hadiah menarik perhatian saya, lalu menginspirasi saya untuk menghasilkan hadiah buatan tangan sendiri,” ujarnya.
Kini bekerja sepenuh masa sebagai kerani, beliau tetap mencurahkan masa dan tenaga untuk memenuhi tempahan pelanggan, terutama jambangan yang direka khas mengikut permintaan.
Menjadikan namanya sebagai inspirasi, Gloria menamakan perniagaannya Glorious Gifts. Jelasnya, proses tempahan amat mudah dan boleh dilakukan melalui WhatsApp atau Instagram, @gloriousgifts.kuching.

Pelanggan Termasuk Selebriti
Konsistensi beliau dalam mengemas kini akaun Instagram dengan memuat naik tempahan pelanggan serta gambar mereka menerima jambangan telah membuka peluang untuk menarik perhatian pelanggan terkenal.
“Sepanjang menjalankan perniagaan ini, pelanggan saya terdiri daripada rakan-rakan sendiri, kenalan media sosial, dan keluarga pelakon tempatan Fizo Omar yang juga pernah membuat tempahan dengan saya,” jelasnya.
Cabaran Dalam Perniagaan
Seperti usahawan lain, Gloria turut berdepan cabaran dalam perniagaannya, termasuk pelanggan yang membatalkan tempahan selepas bahan-bahan telah dibeli.
“Saya pernah mengalami situasi di mana pelanggan membatalkan tempahan saat segala bahan sudah disediakan. Selain itu, terdapat juga permintaan untuk hadiah yang sukar didapati serta kekangan stok bunga segar dalam waktu terdekat,” jelasnya.
Oleh itu, beliau menekankan kepentingan membuat tempahan sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari lebih awal bagi memastikan setiap pesanan dapat disiapkan dengan sempurna.
Perancangan Masa Depan
Melihat potensi Glorious Gifts, Gloria bercita-cita untuk membuka studio sendiri bagi mengembangkan operasinya.
Beliau juga berharap perniagaannya semakin dikenali di Kuching dan berpeluang untuk menceburi bidang hiasan majlis.
“Pada masa akan datang, jika diberikan rezeki, saya berhasrat untuk bekerjasama dengan perancang acara atau jenama tempatan.
Kolaborasi dengan perniagaan tempatan dalam menghasilkan pakej hadiah eksklusif atau cenderahati tetamu untuk acara seperti perkahwinan, acara korporat, dan sambutan khas dapat membantu meningkatkan jenama, menarik pelanggan baharu, dan mencipta produk yang lebih unik,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa jambangan bunga tidak semestinya menggunakan bunga segar semata-mata.
Kini, terdapat pelbagai alternatif seperti bunga kait, bunga kawat bulu, bunga sabun, bunga tiruan, dan kombinasi hadiah lain yang boleh dijadikan kenangan dalam tempoh yang lama.
Buat mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan, Gloria menitipkan pesanan: “Jika mempunyai minat dalam bidang perniagaan, jangan takut untuk mencuba. Bak kata pepatah, belum cuba, belum tahu.”
Oleh Amanda L.