KUCHING: Semuanya bermula daripada sepotong nanas, kadangkala manis, kadangkala masam dan ada kalanya tawar.
Perbezaan rasa itu menimbulkan persoalan dalam diri Francis Chai sehingga mendorongnya menyelami dunia tanaman nanas, bukan sekadar sebagai penggemar, tetapi sebagai pengusaha yang sanggup menghabiskan hampir lima tahun melakukan kajian sebelum memulakan langkah pertama.
Sepanjang tempoh itu, beliau mendalami pelbagai aspek tanaman berkenaan, termasuk penyakit, penjagaan serta faktor yang mempengaruhi kualiti buah sebelum mengambil keputusan mengusahakannya sendiri.
“Dari dulu memang saya minat makan nanas. Tetapi nanas yang kita makan kadang-kadang masam, kadang-kadang tawar dan kadang-kadang manis. Sebelum saya tanam, saya buat kajian hampir lima tahun,” katanya.

Hari ini, usaha tersebut berkembang kepada ladang seluas kira-kira 2.83 hektar yang menempatkan tiga varieti utama, iaitu N36, Morris dan MD2, selain beberapa varieti lain yang ditanam dalam kuantiti kecil.
Menurut Francis, tanaman nanas secara umumnya mengambil masa sekitar setahun dari peringkat penanaman sehingga buah boleh dituai, namun proses mendapatkan hasil tidak berakhir selepas buah dipetik.
Pengusaha masih perlu menunggu sekitar empat hingga enam bulan bagi mendapatkan sulur atau benih nanas yang turut berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan.

Namun, di sebalik kesabaran menunggu hasil, cabaran terbesar yang dihadapinya bukan semata-mata cuaca, penyakit atau kos penjagaan, sebaliknya pasaran yang tidak menentu.
“Kalau musim perayaan, kadang-kadang nanas tidak cukup. Tetapi apabila bukan musim perayaan, ada masa orang tidak mahu dan kita susah hendak menjual,” katanya.
Katanya, pengeluaran buah perlu dirancang dengan teliti, termasuk menerusi penggunaan bahan perangsang pembungaan bagi membolehkan tanaman mengeluarkan buah mengikut tempoh yang dirancang.

Bagaimanapun, jika terlalu banyak buah dihasilkan dan matang dalam tempoh yang sama, pengusaha berdepan kesukaran memasarkan hasil apabila permintaan tidak mencukupi.
Justeru, Francis berharap kemudahan pemprosesan atau saluran pembelian yang lebih konsisten dapat diwujudkan bagi memastikan pengusaha mempunyai pasaran yang lebih terjamin untuk menjual hasil mereka.
Bagi Francis, mengusahakan nanas menuntut kesabaran kerana meskipun hasilnya mengambil masa sekitar setahun untuk dituai, penjagaan perlu dilakukan secara berterusan, termasuk membersihkan rumpai, membaja serta mengawal penyakit dan kulat.

Namun, panas terik dan tempoh menunggu yang panjang bukan alasan untuk generasi muda menjauhkan diri daripada bidang pertanian.
“Tanam nanas memang panas. Jangan malu bertanya. Kalau ada masalah, tanya sahaja. Kita ada Lembaga Nanas dan orang yang berpengalaman yang sentiasa boleh membantu,” katanya.
Daripada sekadar minat menikmati buah nanas, Francis kini melihat tanaman itu sebagai perusahaan yang mempunyai potensi untuk berkembang, asalkan pengusaha mempunyai ilmu, kesabaran serta akses kepada pasaran yang lebih terjamin.
Oleh Norman B





