
LUNDU: Dari sebuah cawan kopi yang pada awalnya sekadar dicuba-cuba, kini ia berkembang menjadi satu jenama tempatan yang mula mencuri perhatian di daerah ini, apabila Kofekohi perlahan-lahan menapak sebagai antara simbol usaha anak muda dalam mengangkat citarasa minuman tempatan dengan sentuhan moden.
Di sebalik perkembangan itu, tersimpan kisah seorang anak muda, Hizan Ali, yang berani mengambil langkah keluar dari zon selesa dengan membina jenama sendiri berasaskan minat mendalam terhadap dunia kopi dan minuman kreatif.
Beliau berkata, Kofekohi pada awalnya bermula secara kecil-kecilan dengan menjual minuman berjenama sebelum melakukan penjenamaan semula selepas mempunyai modal mencukupi untuk membangunkan resipi sendiri serta memperluaskan variasi menu mengikut permintaan semasa pelanggan.
Namun, perjalanan itu tidak datang dengan mudah.
Pada peringkat awal, cabaran utama adalah untuk memperkenalkan jenama Kofekohi kepada masyarakat setempat yang masih belum mengenali produk tersebut di Lundu.
Justeru, pelbagai penyertaan dalam acara seperti Regatta Lundu, Pesta Sematan dan festival makanan dijadikan platform memperkenalkan Kofekohi kepada orang ramai.
Antara minuman yang menjadi tarikan utama ialah Kopi Kampung Special yang menampilkan rasa kopi pekat dan beraroma, dipadukan dengan krim putar yang menghasilkan tekstur lebih berlemak dan menjadi pilihan pelanggan.

Selain itu, menu Matcha dan Biscoff turut mendapat sambutan hangat apabila Matcha Kofekohi dikatakan tidak pahit dan mudah diterima tekak, manakala Biscoff pula menawarkan gabungan kopi segar dengan rasa manis yang seimbang.
Beliau turut menekankan kepentingan kualiti bahan mentah seperti biji kopi arabica, serbuk matcha, sirap serta susu terpilih bagi memastikan setiap minuman kekal konsisten dari segi rasa.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat cabaran dari segi bekalan bahan mentah yang diperoleh secara dalam talian, termasuk isu stok terhad serta kos penghantaran yang semakin meningkat dari Semenanjung ke Sarawak.
Kini, Kofekohi bukan sahaja menarik pelanggan sekitar Lundu, malah turut menerima kunjungan dari Sematan, Kuching dan Samarahan yang datang khusus untuk menikmati minuman yang menjadi bualan ramai.
Mengulas perancangan masa depan, beliau menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan dengan membuka kafe sendiri serta menambah menu makanan ringan dan pencuci mulut, selain mengekalkan harga yang berpatutan untuk semua pelanggan.
Dalam masa sama, beliau berharap sokongan berterusan daripada masyarakat tempatan dapat membantu peniaga kecil seperti Kofekohi untuk terus berkembang dan bertahan dalam industri minuman yang semakin mencabar.
Oleh Norman B