
KUCHING: Di sebalik setiap kek yang dihasilkan, tersimpan kisah perjuangan seorang wanita yang memilih untuk mengubah minat menjadi sumber rezeki keluarga.
Bagi Elendra Linek, 40, dapur rumah bukan sekadar ruang menghasilkan kek dan pencuci mulut, tetapi menjadi titik permulaan kepada impian membina perniagaan bakeri sendiri.
Enam tahun lalu selepas berhenti kerja, Elendra mula mencari jalan untuk membantu menambah pendapatan keluarga tanpa perlu meninggalkan anak-anak yang masih kecil, terutama ketika beliau dan suami menjalani hubungan jarak jauh.
“Selepas berhenti kerja, saya kerap berfikir apa yang ingin saya lakukan untuk membantu menambah pendapatan keluarga tanpa perlu keluar bekerja meninggalkan anak-anak yang masih kecil.
“Jadi, saya menggunakan kemahiran dan minat yang ada untuk memulakan perniagaan bakeri dari rumah,” katanya.
Menurut Elendra, perjalanan dalam dunia bakeri bermula dengan menghasilkan kek lapis sebelum beliau beralih kepada pembuatan kek dan pencuci mulut apabila mendapati permintaan terhadap kek lapis kurang konsisten pada hari biasa.
Katanya, cabaran terbesar pada peringkat awal ialah memperkenalkan produknya kepada pelanggan setempat kerana perlu bersaing dengan pengusaha bakeri dari rumah yang telah lama bertapak dan mempunyai kepercayaan pelanggan sendiri.

“Bidang ini ibarat satu cabaran baharu kerana saya mempunyai minat, tetapi tidak mempunyai kemahiran asas. Saya mula mengikuti kursus asas kek span dan beberapa kelas pembelajaran jarak jauh untuk mendalami teknik serta resipi kek,” katanya.
Daripada setiap adunan yang dihasilkan, Elendra terus memperbaiki kemahiran dan membina keyakinan sehingga berjaya menghasilkan kek serta pencuci mulut yang mempunyai sentuhan tersendiri.
Kini, hasil air tangannya semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan, malah kek yang dihasilkannya sering menjadi pilihan untuk pelbagai acara istimewa termasuk sambutan ulang tahun, majlis pertunangan dan perkahwinan.
Beliau berkata, setiap produk yang dihasilkan menggunakan resipi yang dipelajari menerusi kursus, namun ditambah baik mengikut kesesuaian tekstur dan rasa yang diinginkan, selain memastikan bahan mentah yang digunakan sentiasa segar serta berkualiti.
Dalam usaha memperluaskan pasaran, Elendra memanfaatkan platform digital seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp Business untuk mempromosikan hasil bakerinya serta memudahkan pelanggan membuat tempahan.
Kini, beliau menyimpan impian untuk mengembangkan perniagaan bakeri dari rumah itu kepada sebuah premis sebenar yang selesa, sekali gus memberi ruang kepada pelanggan menikmati kek dan pencuci mulut hasil air tangannya.
Daripada sebuah dapur kecil, Elendra terus melangkah dengan keyakinan, membuktikan bahawa setiap impian besar boleh bermula dengan keberanian mencuba dan kesungguhan yang tidak pernah luntur.
Oleh Norman B