
SIBU: Menjelang sambutan Aidilfitri, tukang jahit adalah antara yang tidak menang tangan menerima tempahan, dan terus menjadi pilihan ramai meskipun lambakan pakaian raya boleh didapati secara dalam talian.
Bagi tukang jahit, Anijah Abdul Hadi, 48, tempahan baju raya mula diterima seawal November tahun lalu, dan kini beliau telah menutup tempahan untuk musim perayaan ini.
“Tempahan tahun ini hampir sama seperti tahun lepas.
“Saya hanya mengambil 50 pasang baju raya kerana bimbang tidak sempat menyiapkannya jika menerima lebih banyak tempahan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di butik jahitannya, Hanie Enterprise.
Walaupun platform dalam talian semakin popular, Anijah, berkata masih ramai pelanggan yang lebih gemar menempah secara khas kerana faktor keselesaan, dan ukuran yang lebih tepat.

“Ada pelanggan membeli baju raya secara dalam talian, tetapi dalam masa sama mereka tetap mahu menempah baju yang dibuat khas di sini.
“Ini kerana mereka mahu jahitan yang lebih kemas dan saiz yang betul-betul mengikut badan,” katanya yang telah berkecimpung dalam bidang jahitan selama 23 tahun, dan merupakan tenaga pengajar jahitan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Mengenai pengurusan masa bagi menyiapkan tempahan, Anijah berkata beliau mengamalkan sistem kerja yang teratur dengan menetapkan sasaran harian.
“Saya menyiapkan tempahan mengikut keluarga. Untuk baju kurung, saya sasarkan sekurang-kurangnya dua pasang sehari. Bagi baju Melayu, prosesnya lebih rumit, jadi saya juga tetapkan dua pasang sehari bagi memastikan kualiti terjaga,” katanya.

Anijah juga memaklumkan bahawa tempahan untuk baju Melayu lebih banyak diterima tahun ini berbanding baju kurung, yang dipercayai kerana baju kurung mempunyai pelbagai pilihan di pasaran dalam talian.
Dari segi trend warna untuk tahun ini, Anijah berkata pelanggan lebih cenderung memilih warna seperti burgundy, olive gold, teal, dan hijau zaitun.
Dalam pada itu, Anijah menasihatkan pelanggan yang ingin menempah baju raya tahun depan supaya merancang lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
“Tempahan sebaiknya dibuat lima bulan sebelum raya. Pelanggan juga perlu mengambil kira faktor kos dan masa untuk menyiapkan baju supaya semuanya berjalan lancar,” katanya.
Oleh Tarani Lanting