LONDON, 8 Oktober: Ketua jurulatih Southampton, Tonda Eckert, terlepas daripada hukuman berat atas peranannya dalam skandal yang dikenali sebagai “Spygate” selepas Persatuan Bola Sepak England (FA) mengenakan hukuman penggantungan yang ditangguhkan, hari ini.
Eckert turut didenda £28,000 (AS$37,000) dan dikenakan teguran, namun terlepas daripada penggantungan panjang serta dibenarkan meneruskan tugasnya bersama kelab Liga Kejuaraan itu.
Southampton disingkirkan daripada perlawanan akhir play-off Liga Kejuaraan musim lalu dan dikenakan potongan empat mata bagi musim semasa selepas mengakui tiga pelanggaran peraturan Liga Bola Sepak England (EFL), susulan tindakan mengintip sesi latihan Middlesbrough dan dua pasukan lain yang bakal menjadi lawan mereka pada peringkat separuh akhir.
Suruhanjaya Tatatertib Bebas EFL pada Mei memutuskan bahawa Eckert “secara khusus membenarkan” kegiatan mengintip berkenaan, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai masa depannya bersama kelab divisyen kedua England itu.
Jurulatih berusia 33 tahun itu menerima tanggungjawab sepenuhnya dan didakwa oleh FA atas kesalahan salah laku.
Jurulatih dari Jerman itu menghadiri pendengaran FA pada awal tempoh rehat antarabangsa dan keputusan berkenaan membolehkannya meneruskan tugas ketika Southampton berdepan seteru mereka, Portsmouth, pada Ahad.
“Eckert kemudiannya mengaku terhadap pertuduhan berkenaan dan suruhanjaya kawal selia bebas mengenakan penggantungan selama enam minggu daripada semua aktiviti bola sepak dan berkaitan bola sepak, yang ditangguhkan sehingga akhir musim 2027/28, denda £28,000 serta teguran selepas pendengaran,” kata FA dalam kenyataan hari ini.
“Hukuman penggantungan itu akan berkuat kuasa sekiranya beliau didapati melanggar mana-mana peraturan dengan meminta, membenarkan, mengambil atau menggunakan maklumat hasil daripada sebarang pemerhatian terhadap sesi latihan kelab lain, dalam apa jua bentuk pemerhatian yang dilakukan.”
Southampton berkata dalam kenyataan bahawa keputusan itu menamatkan “tempoh yang dikesali dalam sejarah kami”.
Kelab yang kini menduduki tempat ke-13 dalam Liga Kejuaraan itu berkata “langkah-langkah telah dilaksanakan bagi memastikan kesilapan dalam membuat pertimbangan seperti ini tidak berlaku lagi di kelab”.
Pemilik kelab, Dragan Solak, berkata: “Saya gembira panel bebas telah membuat keputusan dan kami kini mempunyai penyelesaian.
“Kami telah menerima hukuman yang secukupnya dan menghargai pengiktirafan panel terhadap perkara itu.
“Kami yakin pengurus telah mengambil pengajaran daripada perkara ini dan hukuman yang ditangguhkan membolehkannya meneruskan tugas.”
Eckert dilantik sebagai ketua jurulatih tetap Southampton pada Disember 2025 dan membawa kelab itu menduduki tempat keempat dalam carta Liga Kejuaraan selepas permulaan musim yang kurang memberangsangkan. – AFP




