
PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 disifatkan sebagai langkah strategik untuk memperkukuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) agar lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi moden dan meningkatkan daya saing Sarawak di peringkat global.

Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) berkata, pindaan tersebut bukan sekadar perubahan struktur atau penjenamaan semula tetapi transformasi menyeluruh bagi memastikan SEDC kekal relevan dalam era ekonomi digital, tenaga hijau dan pelaburan antarabangsa.
“Pindaan ini bukan hanya tentang perubahan nama atau struktur, tetapi transformasi menyeluruh bagi memastikan Sarawak kekal kompetitif dalam ekonomi global,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan tadbir urus profesional melalui penglibatan pakar ekonomi, industri, kewangan serta sains dan teknologi dalam lembaga pengarah SEDC.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sementara itu, Safiee Ahmad (GPS-Daro) berkata pindaan tersebut penting bagi memastikan SEDC mampu memainkan peranan lebih besar dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pindaan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh struktur dan peranan SEDC sebagai pemacu utama ekonomi negeri menjelang aspirasi pembangunan Sarawak 2030,” katanya.
Menurut beliau, penstrukturan semula organisasi termasuk pewujudan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CGEO) akan meningkatkan keupayaan SEDC melaksanakan projek strategik dengan lebih cekap dan inklusif.
Oleh Norman B