DUN: Semua kawasan Daro kini menikmati bekalan elektrik 24 jam

Facebook
WhatsApp
DR Safiee Ahmad ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 pada sidang DUN, Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS.

PETRA JAYA, 14 Oktober: Semua kawasan Daro kini menikmati bekalan elektrik selepas pelaksanaan beberapa projek bekalan elektrik luar bandar yang membolehkan penduduk di kawasan terpencil mendapat bekalan stabil selama 24 jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, pencapaian itu direalisasikan menerusi pelaksanaan tiga projek bekalan elektrik luar bandar (RES) yang menggunakan peruntukan kerajaan Sarawak.

Menurutnya, kawasan Sungai Mawan, Tanjung Keling, Sebinjai, Serban, Nanga Lassa dan Sawai telah menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak dua tahun lalu menerusi peruntukan hampir RM21 juta.

Beliau berkata, projek bekalan elektrik di Batang Lassa, Daerah Matu, bernilai RM7.7 juta pula siap sebelum sambutan Gawai Dayak tahun lalu.

Sementara itu, kawasan Nanga Passin, Matu yang merangkumi tujuh rumah panjang, sebuah klinik dan sebuah sekolah mula menikmati bekalan elektrik stabil pada 16 Julai 2026 menerusi projek bernilai RM6 juta.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN Sarawak Ke-19, beliau berkata, penyediaan bekalan elektrik itu turut mengurangkan beban perbelanjaan penduduk yang sebelum ini bergantung kepada generator.

Katanya, penduduk yang dahulunya membelanjakan antara RM500 hingga RM800 sebulan untuk membeli diesel atau petrol bagi mengendalikan generator kini hanya membayar bil elektrik sekitar RM50 sebulan.

Beliau turut menyentuh penambahbaikan bekalan elektrik di Daro dan Matu menerusi pembinaan pencawang Daro 132 kilovolt (kV) bernilai lebih RM330 juta yang mula beroperasi pada 2019, sekali gus membantu mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Dalam perbahasan sama, Dr Safiee berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya dan jambatan turut meningkatkan hubungan Daro dengan kawasan lain, termasuk Jambatan Muara Lassa, Jambatan Igan dan Jambatan Batang Rajang.

Beliau berkata, pembukaan Jambatan Batang Paloh yang dijadualkan pada 30 Oktober ini dijangka menambah baik hubungan darat serta memudahkan pergerakan penduduk dan kegiatan ekonomi setempat.

Bagaimanapun, beliau memohon kerajaan memberi keutamaan kepada projek penyaluran bekalan air dari Loji Rawatan Air Basong, Mukah ke Daro kerana bekalan air di kawasan itu masih tidak mencukupi, terutama ketika musim kemarau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada persidangan DUN Sarawak Ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Oleh Shikin Mahmud