

PETRA JAYA: Sarawak terus memperkukuh ekosistem pelancongan negeri melalui pembangunan projek ikonik, pelancongan kapal persiaran serta naik taraf pelbagai infrastruktur pelancongan.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan semula Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjadi Taman Air dan Pusat Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO.
“Projek mercu tanda itu kini menghampiri fasa siap dengan kemajuan fizikal mencapai 78.87 peratus dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada suku ketiga tahun ini.
“Pembangunan dwifungsi ini menggabungkan elemen rekreasi dan pusat kulinari khusus bagi memelihara warisan makanan Sarawak selain menyediakan platform kepada cef tempatan mempamerkan bakat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata industri pelancongan kapal persiaran turut dilihat berpotensi besar dalam menjana manfaat ekonomi dan pembangunan mampan kepada Sarawak.
“Pengendali kapal persiaran antarabangsa, StarDream Cruise menunjukkan minat untuk melancarkan pakej pelayaran Sarawak dan memasukkan pelabuhan negeri ini dalam laluan pelayaran Asia Tenggara mereka.
“Bagi tujuan itu, kementerian bersama Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) sedang bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Singapura dan Marina Bay Cruise Centre Singapura bagi merealisasikan usaha tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, kementeriannya turut meneruskan kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh pembangunan industri pelancongan negeri.
“Di bawah Rancangan Bergilir 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) meluluskan projek naik taraf dan pembangunan semula Taman Jubli Bukit Aup di Sibu dengan peruntukan RM11 juta.
“MOTAC turut memperuntukkan RM1.2 juta tahun ini bagi tiga projek di bawah Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN).
“Ia melibatkan projek naik taraf infrastruktur pelancongan adaptif banjir di Taman Negara Maludam, pemulihan menara tinjau di Taman Awam Miri serta baik pulih jambatan dan laluan pejalan kaki di Homestay Patrick Libau, Sungai Tangap, Niah,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah