
PETRA JAYA: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berpandangan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal tidak boleh diketepikan susulan perkembangan geopolitik dunia dan tekanan ekonomi semasa yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Katanya, konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini menyebabkan kenaikan harga bahan api sekali gus memberi kesan berantai terhadap kos sara hidup.
Menurutnya, situasi tersebut memerlukan Kerajaan Persekutuan membuat pertimbangan serius sama ada mahu menunggu sehingga tamat penggal atau mengadakan pilihan raya lebih awal.
“Beberapa hari kebelakangan ini, pelbagai masalah yang memuncak termasuk isu geopolitik di Asia Barat menyebabkan harga bahan api meningkat.
“Apabila harga bahan api meningkat, kos sara hidup turut meningkat dan banyak perkara lain turut terkesan seperti domino,” katanya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya Sarawak memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat dan beberapa negeri di Semenanjung turut berada dalam situasi sama, maka pilihan raya serentak wajar dipertimbangkan.
“Saya fikir sesiapa yang menjadi Perdana Menteri perlu memikirkan secara serius sama ada mahu menunggu atau mengadakan pilihan raya lebih awal.
“Pandangan peribadi saya, jika Sarawak mahu mengadakan pilihan raya dan beberapa negeri di Semenanjung seperti Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Selangor atau bahkan situasi dalam PKR sendiri sedang memikirkan perkara sama, maka ada kemungkinan pilihan raya umum awal diadakan.
“Mungkin pada pandangan saya, lebih baik diadakan serentak,” katanya.
Abdul Karim berkata, antara kelebihan terbesar pilihan raya diadakan serentak adalah penjimatan kos melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wang pembayar cukai.
Beliau berkata, PRN Sarawak sebelum ini sahaja menelan belanja sekitar RM600 juta dan jumlah itu boleh menjadi lebih besar jika pilihan raya negeri serta umum diadakan secara berasingan.
“Jika kos PRN sahaja mencecah hampir RM1 bilion dan kemudian pilihan raya umum memerlukan kos yang sama, maka jumlahnya amat besar.
“Jika diadakan serentak, kos dapat dikurangkan. Itu semua wang pembayar cukai. Sebab itu lebih baik diadakan serentak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Karim menegaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya kerana gabungan itu tidak pernah berhenti turun padang selepas memperoleh kemenangan besar pada PRN lalu.
Katanya, fokus utama kerajaan GPS adalah memastikan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Kita memang bersedia kerana selepas kemenangan besar pada pilihan raya negeri lalu, kita terus turun padang.
“Bukan berkempen, tetapi memastikan tanggungjawab yang dipikul dilaksanakan,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa dalam politik, keyakinan melampau tidak boleh dijadikan sandaran walaupun sesebuah parti berada dalam kedudukan kuat.
“Saya tidak mahu terlalu yakin kerana dalam politik kita tidak boleh terlalu yakin.
“Kadang-kadang kita fikir kita berada di landasan kemenangan tetapi apabila tiba hari pengundian, keadaan boleh berubah,” katanya.
Mengulas mengenai isu 17 kerusi baharu DUN Sarawak, Abdul Karim mengakui beliau sedikit kecewa apabila perkara itu masih belum dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan walaupun telah diluluskan hampir sebulat suara di Sarawak tahun lalu.
Beliau berkata, apa yang diperlukan hanyalah pengesahan Parlimen bagi membolehkan kerusi baharu tersebut digunakan pada PRN akan datang.
“Kalau tidak diluluskan, bermakna suara majoriti rakyat Sarawak tidak dihormati. Kita tidak bercakap tentang kerusi Parlimen.
“Apa yang kita mahu hanyalah pengesahan terhadap 17 kerusi baharu supaya pilihan raya negeri nanti dapat menggunakan kerusi tersebut,” katanya.
Menurutnya, penambahan kerusi DUN penting bagi memastikan kawasan yang terlalu besar dapat dipecahkan supaya wakil rakyat mampu memberi tumpuan lebih efektif kepada penduduk.
“Ada kawasan yang saiznya sebesar Pahang dan dengan tambahan 17 kerusi baharu, kawasan-kawasan besar itu boleh dipecahkan.
“Jika ada tambahan wakil rakyat, penduduk tempatan akan lebih terbela,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal jika rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan terus bertindak menggugat kestabilan politik di negara ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata pendirian tersebut diambil susulan keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di semua kerusi di Johor.
Anwar berkata, jika rakan kerjasama memilih untuk ‘bertempur’ dan meretakkan hubungan, beliau tidak teragak-agak untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi menentukan masa depan kepemimpinan negara.
“Malah, dalam tempoh terdekat saya kena panggil pimpinan PH untuk berunding, kita harus berfikir secara serius, kalau inilah cara kita memperkotak-katikkan dan meretakkan hubungan dalam kerajaan, apakah mungkin kita pilih untuk mengadakan PRU seluruh negara?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada kemuncak Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.
Oleh Shahrul Qaizat