KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi peruntukian awal RM8 bilion untuk Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, peruntukkan itu akan diagihkan ke dalam Akaun Dana Pelaburan Dana dan diuruskan dengan ketat mengikut mandat pelaburan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Bil.
Dana RM8 bilion itu antara lain untuk peruntukan seperti berikut:
- RM300 juta setahun dari tahun dua hingga tahun lima;
- RM550 juta setahun dari tahun enam hingga tahun sepuluh; dan
- RM650 juta setahun dari tahun sebelas hingga tahun dua puluh.
“Dengan peruntukan ini, dana dijangka berkembang secara mampan tanpa pengeluaran kecuali dalam kes peristiwa kritikal yang mungkin timbul dalam tempoh 20 tahun atau apabila dana berprestasi lebih baik daripada sasaran,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika persidangan mesyuarat ketiga bagi penggal pertama DUN petang ini.
Abang Johari berkata, wang dalam Akaun Kumpulan Wang Endowmen, yang akan dipindahkan ke Kumpulan Wang Disatukan Negeri dan dipegang di bawah Kumpulan Wang Amanah.
Ia boleh digunakan untuk tujuan berikut: –
(i) Pendidikan rakyat Sarawak di institusi pengajian tinggi atau institusi lain yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
(ii) Peningkatan taraf hidup rakyat Sarawak berdasarkan keperluan sosioekonomi;
(iii) Pembangunan bakat, kepakaran, dan kemahiran keusahawanan rakyat Sarawak; dan
(iv) Tujuan lain yang ditentukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam pemberitahuan yang akan disiarkan dalam warta dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri.
“Dana kekayaan negara ialah dana pelaburan tujuan khas yang dimiliki oleh kerajaan (termasuk Kerajaan Pusat dan sub-nasional) untuk mewujudkan pulangan kewangan dan ekonomi yang mampan.
“Berdasarkan kajian kami mengenai landskap dana kekayaan negara global, dana kekayaan negara boleh dikategorikan berdasarkan mandat atau objektif penubuhannya, dan boleh diklasifikasikan secara meluas kepada tiga kategori iaitu memaksimumkan modal, penstabilan dan pembangunan strategik,” katanya.
Abang Johari berkata, pembentangan Rang Undang-Undang itu adalah untuk menunaikan janji pilihan rayanya yang merupakan sebahagian daripada manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke-12
“Ini untuk membuktikan bahawa kerajaan GPS mengambil janji dan manifestonya dengan serius,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA