KUCHING: DAP Sarawak mengemukakan tujuh bantahan rasmi terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata bantahan itu dikemukakan di Pejabat SPR Sarawak di Bangunan Simpang Tiga Iskandar bersama beberapa pemimpin parti berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, berkata daripada tujuh bantahan itu, lima dikemukakan oleh beliau sendiri, ADUN Pending Violet Yong, George Lam, Soo Tien Ren dan Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii, manakala dua lagi membabitkan kawasan di Bintulu.
“Kami telah mengemukakan bantahan dan pandangan secara rasmi berhubung cadangan sempadan baharu kawasan pilihan raya, khususnya terhadap aspek yang kami anggap tidak adil,” katanya.
Chong berkata, proses bantahan rasmi itu memberi peluang kepada SPR untuk meneliti pandangan dan kebimbangan yang dikemukakan oleh rakyat serta wakil politik berhubung cadangan berkenaan.
“Kami berharap SPR akan mengambil kira pandangan dan kebimbangan rakyat berhubung cadangan persempadanan kawasan pilihan raya.
“Sebarang proses persempadanan semula hendaklah dilaksanakan berdasarkan prinsip keadilan, kewajaran dan ketelusan serta demi kepentingan terbaik rakyat,” katanya.
Pada 1 September lalu, SPR mula mempamerkan syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak untuk semakan serta bantahan awam sehingga 30 September ini.
Oleh Connie Chieng





