PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM240.2 juta bagi menjayakan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 baru-baru ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini mencerminkan komitmen kukuh kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sukan dan impaknya kepada masyarakat tempatan, atlet, serta negara.
“SUKMA Sarawak 2024 adalah satu kejayaan besar dengan Sarawak muncul juara keseluruhan buat kali keempat sejak 1994 dengan meraih sebanyak 201 pingat,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang DUN hari ini.
Abdul Karim berkata SUKMA adalah acara penting untuk membangunkan bakat sukan dalam golongan muda di seluruh negara, sambil menggalakkan perpaduan di Malaysia.
Katanya, Sarawak selaku tuan rumah SUKMA 2024 mendapat sokongan 30 penaja dan enam rakan kongsi rasmi.
Acara itu katanya, memperoleh RM13.2 juta dalam bentuk tajaan, wang tunai dan barangan, dari syarikat tempatan, nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan SUKMA Sarawak dengan peruntukan RM50 juta untuk acara SUKMA dan PARA SUKMA kali ini.
“Pembiayaan ini bukan sahaja membantu perbelanjaan operasi am tetapi juga memastikan bahawa keperluan atlet kurang upaya dipenuhi, menggalakkan keterangkuman dan peluang yang sama dalam sukan,” katanya.
Oleh Noor Ikmal